Slider

474 pelajar baharu mendaftar di UMSKAL

 

LABUAN – Kira-kira 474 pelajar baharu Tahun Satu akan mendaftar di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) bagi Sesi Akademik 2020/2021 bermula pada 4 Oktober depan.

 

Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Profesor Dr Jualang @ Azlan Gansau (gambar) berkata daripada jumlah tersebut, seramai 402 akan melanjutkan pengajian mereka di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan 72 lagi di Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

 

Katanya, pendaftaran kolej kediaman dan universiti bagi pelajar baharu akan bermula pada 4 Oktober sehingga 6 Oktober dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.

 

“Pendaftaran pelajar baharu akan diadakan selama tiga hari untuk memulakan sesi pengajian akademik pada kali ini.

 

“Mereka akan dibantu pegawai dan kakitangan Sektor Hal Ehwal Pelajar (SHEP), Sektor Perumahan Pelajar dan Hospitaliti (SPPH) serta Pembimbing Suai Mesra (PSM),”katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Minggu Suai Mesra (MSM) Sesi 2020/2021 di Bilik Mesyuarat Kiamsam pada 14 September 2020.

 

Turut hadir Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah dan Ketua Sektor Hal Ehwal Pelajar (SHEP), Nur Iman Reedzal.

 

Tambah Profesor Dr Jualang, pendaftaran akan diadakan di Pusat Kemajuan Pelajar, Kolej Kediaman dan Dewan Utama UMSKAL.

 

Jelas beliau, selepas selesai urusan pendaftaran selama tiga hari itu, mereka akan mengikuti beberapa program sempena MSM termasuk Majlis Ikrar dan Aku Janji, Amanat Pengarah UMSKAL dan Pengenalan Pegawai UMSKAL pada 7 Oktober.

 

Selain itu, sesi bersama fakulti, sesi bersama mentor mentee dan sesi bersama Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) serta kuliah agama dan moral.

 

Beliau berkata, program MSM pada tahun ini dilaksanakan selari dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pengerakan dan Pemulihan (PKPP) dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajar dan ibu bapa agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.

 

Beliau bagi pihak Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Dr. Taufik Yap Yun Hin dan seluruh warga UMSKAL mengalu-alukan kehadiran pelajar baharu dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta Labuan ke UMSKAL.

 

“Persiapan rapi telah dan sedang dijalankan bagi memastikan urusan pendaftaran pelajar baharu berjalan lancar,”tambah Profesor Dr Jualang lagi.

 

Tamat.