Slider

Majlis Perpisahan Kakitangan UMSKAL

12 Januari 2021 – Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Bidalan itu sesuai diberikan kepada Rafidah Arshad yang akan bertukar ke UMS Kota Kinabalu pada 18 Januari ini.

Pembantu Tadbir UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang berasal dari Tuaran itu telah menabur bakti selama 9 tahun.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada pengurusan UMSKAL kerana memberikan ruang dan peluang kepadanya berkhidmat dan menjalankan tugas yang diamanahkan kepada beliau.

“Terima kasih kepada ketua-ketua sektor, pegawai, pensyarah, kakitangan dan pelajar yang telah memberikan kerjasama sepanjang saya berkhidmat di UMSKAL,”katanya.

Sementara itu, Pengarah UMSKAL, Profesor Dr Jualang Azlan Gansau mengucapkan terima kasih atas sumbangan Rafidah kepada UMSKAL khususnya yang membabitkan kakitangan, pensyarah dan pelajar.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Rafidah dan berharap beliau akan terus menjalankan tugas dengan sebaik mungkin,”katanya ketika menerima kunjungan Rafidah di Pejabat Pengarah UMSKAL.

Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah pula yang mewakili pengurusan mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada Rafidah yang telah menjalankan tugasnya dengan baik.

Beliau berharap Rafidah akan terus berjaya di tempat baharu sekaligus memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan UMS.

“Bagi pihak pengurusan UMSKAL, saya mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Rafidah selama 9 tahun sejak 2011,”katanya pada Majlis Perpisahan yang diadakan di Café Kesumba Aras 11.

Turut meraikan majlis ringkas itu ialah Penolong Pendaftar Kanan, Mas Adi Alimin yang juga Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM) dan kakitangan SPSM.

Majlis itu diakhiri dengan penyampaian cenderamata daripada Zamri kepada Rafidah sambil disaksikan staf SPSM.

Tamat.