Slider

JAKMAS UMSKAL sumbang 500 face shield kepada petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Labuan

LABUAN - Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menyerahkan sebanyak 500 face shield kepada petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Labuan di Dewan Hospital Membedai Labuan pada 27 Januari 2021.

Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohammad Tuah yang mewakili Pengarah UMSKAL, Professor Dr Jualang Azlan Gansau menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari.

500 face shield itu dijahit sendiri oleh 30 mahasiswa yang mewakili JAKMAS dan Pembimbing Suai Mesra (PSM) selama dua bulan.

Turut menyaksikan majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Farmasi JKN Labuan, Ridhuan Abdullah, Yang Dipertua JAKMAS UMSKAL, Muhammad Afiq Naiser dan Timbalan Pengarah Program, Chiang Pong Chun Melvin yang mewakili Pengarah Program,  Mimie Amyrah Osman.

Hadir sama dua Felo Kolej Kediaman UMSKAL, Abd Rahman Ibrahim dan Mat Rahim Matsin.

Menurut Muhamad Afiq, sumbangan face shield itu sebagai simbolik penghargaan dan ucapan terima kasih mahasiswa UMSKAL kepada petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Labuan yang berusaha gigih menangani pandemik COVID-19.

 “JAKMAS UMSKAL amat menghargai komitmen dan sumbangan petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Labuan kepada kami di UMS Labuan.

 “JKN Labuan telah banyak membantu mahasiswa dalam urusan kesihatan dan perubatan termasuk dalam urusan mencegah pandemik COVID-19,”katanya.

Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Professor Dr Jualang Azlan Gansau mengucapkan syabas dan tahniah atas usaha gigih mahasiswa tersebut.

Sementara itu, Dr Ismuni merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada JAKMAS UMSKAL atas sumbangan face shield tersebut untuk digunakan oleh petugas barisan hadapan JKN Labuan.

Beliau turut menasihatkan warga Labuan termasuk kakitangan dan mahasiswa UMSKAL supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sepanjang pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Tamat.