Slider

UMSKAL Prihatin Terhadap 105 Mangsa Kebakaran

19 FEB 2021 - Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) turut tidak ketinggalan membantu menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa kebakaran rumah kongsi pekerja sebuah syarikat binaan yang musnah dalam satu kebakaran pada 16 Februari 2021.

Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohammad Tuah yang mewakili Pengarah UMSKAL, Professor Dr. Jualang Azlan Gansau menyerahkan sumbangan tersebut kepada pengurus syarikat pembinaan berkenaan, Ho Han Kian di kawasan berhampiran kejadian tersebut.

Turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan, Ansharey Matarsad, Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM) UMSKAL, Mas Adi Alimin dan Penyelaras Program, Che Din Md Salleh.

Barangan berupa makanan ringan dan peralatan kebersihan diri disumbangkan kakitangan UMSKAL, Kelab Kebajikan Kakitangan UMSKAL (KAKAL) dan Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) UMSKAL.

Zamri berharap bantuan tersebut akan dapat membantu meringankan beban ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah tersebut.

“Warga UMSKAL turut bersimpati dengan nasib pekerja syarikat pembinaan berkenaan.

“Bantuan itu juga membuktikan warga UMSKAL sentiasa prihatin dengan mereka yang ditimpa musibah.

“Semoga bantuan tersebut dapat meringankan beban ahli keluarga mangsa,”katanya.

Zamri dan rombongan turut meninjau tapak kejadian kebakaran kira-kira pukul 10 pagi.

Seramai 105 mangsa daripada 56 buah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila tiga blok rumah mereka di Jalan Rancha-Rancha dekat Taman Kian Yap musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 11.30 pagi pada 16 Februari 2021.

Tamat.