Slider

Mahasiswa UMSKAL kembali ke kampus dengan norma baharu

4 MAC 2021 – Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) kembali semula ke kampus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan pada tahun lalu.

Mereka mula berada di kampus dari kampung halaman masing-masing dari Sabah dan Semenanjung pada 1 Mac lalu menggunakan laluan udara dan laut.

Manakala mahasiswa dari Sarawak dijadual tiba pada penghujung bulan Mac ini.

Ketibaan mereka di pekarangan kolej kediaman pada 4 Mac disambut Pengarah UMSKAL, Professor Dr Jualang Azlan Gansau, Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohammad Tuah dan Pengetua Kolej, Dr Hadzariah Ismail.

Sebaik tiba di kawasan kolej, mahasiswa Tahun Satu, Dua dan Tiga itu mendaftar dengan bantuan Ahli Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan sukarelawan.

Turut melancarkan urusan kemasukan mahasiswa itu ialah kakitangan Bahagian Kolej Kediaman Pelajar, Sektor Hal Ehwal Pelajar (SHEP), Klinik Rawatan Warga (KRW), Sektor Keselamatan dan pemandu.

Bermula 1 hingga 5 Mac ini, kira-kira 80 mahasiswa akan memulakan kehidupan di kampus dengan norma baharu untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) secara dalam talian.

 Di Terminal Feri Kenderaan dan Lapangan Terbang Labuan, mahasiswa disaring oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Labuan sebelum menaiki bas ke kolej kediaman kira-kira pukul 8.30 pagi 4 Mac.

Semua mahasiswa dan petugas termasuk kakitangan Bahagian Kolej Kediaman Pelajar, Sektor Hal Ehwal Pelajar (SHEP), Klinik Rawatan Warga (KRW), Sektor Keselamatan dan pemandu mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan seperti memakai face shield, pelitup muka dan hidung serta penjarakan sosial selain menggunakan cecair pembasmi kuman bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

Professor Dr Jualang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu melancarkan kemasukan mahasiswa kembali ke kampus pada 1 hingga 5 Mac 2021.

Tamat.