Slider

Naib Canselor UMS temui pensyarah, kakitangan pentadbiran dan pelajar UMSKAL

NAIB Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin mengadakan lawatan kerja dua hari ke Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 30 April hingga 1 Mei 2021.

Ketibaan beliau kira-kira pukul 8.15 pagi disambut Pengarah UMSKAL, Prof Dr. Jualang Azlan Gansau, Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Prof Dr Abdullah Gani, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Mohamad Rizal Abdul Hamid dan Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah.

Turut mengiringi Naib Canselor ialah Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, Penolong Naib Canselor (Strategik), Prof Madya Dr Mohd Rahimie Abd Karim dan Pengarah Pusat Pengurusan Non Resident dan Fasiliti Perumahan Pelajar, Hasmi Hashim yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Raman Noordin.

Selepas itu, Naib Canselor mengadakan pertemuan bersama kakitangan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) di Podium D, Bangunan Menara.

Dekan FKI, Prof Dr Abdullah Gani yang turut hadir kemudiannya mengiringi Naib Canselor melawat Bilik Pascasiswazah, Pejabat FKI di Tingkat 5 dan makmal di Tingkat 9, Bangunan Menara.

Hadir sama Timbalan-timbalan Dekan, Prof Dr Jason Tze Wi (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Madya Dr Chin Kim On (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) dan Dr Muzaffar Hamzah (Pascasiswazah dan Pengantarabangsaan).

Rombongan Naib Canselor turut melawat Pejabat Pusat Penataran, Ilmu dan Bahasa (PPIB) di Tingkat 6 Bangunan Menara diiringi Prof Dr. Jualang Azlan Gansau dan Penyelaras PPIB, Dr Nurulasyikin Muda.

Pada sebelah petangnya pula, Dr. Taufiq mengadakan perjumpaan dengan kakitangan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) yang diketuai Dekannya, Prof Madya Dr Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Naib Canselor turut dibawa melawat Pejabat Pentadbiran FKAL di Tingkat 3 dan makmal di Tingkat 7.

Turut hadir Timbalan-timbalan Dekan, Prof Madya Dr Lee Hock Ann (Akademik dan Antarabangsa), Dr Anath Rau Krishnan (Penyelidikan dan Inovasi) dan Dr Suzillah Sidek (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Ia diikuti sesi pertemuan Naib Canselor bersama Pengarah dan Pengurusan UMSKAL di pejabat Pengarah, Aras 13, Bangunan Menara.

Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, Penolong Naib Canselor (Strategik) dan Prof Madya Dr Mohd Rahimie Abd Karim serta Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad turut menghadiri perbincangan tersebut.

Manakala pada Sabtu, Dr. Taufiq menghadiri Sesi Pertemuan Kakitangan Pentadbiran UMSKAL bersama Naib Canselor UMS di Podium D, Bangunan Menara.

Turut hadir Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM), Mas Adi Alimin.

Sempena majlis tersebut, Dr Taufiq menerima replika kunci Toyota Fortuner daripada Pengerusi Kelab Kebajikan dan Rekreasi UMSKAL (KAKAL), Johari Safar.

Turut menyaksikan majlis penyerahan kenderaan tersebut ialah Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Pengarah UMSKAL, Prof Dr Jualang Azlan Gansau.

Kira-kira pukul 10 pagi, beliau dan rombongan mengadakan lawatan sekitar kampus termasuk ke Klinik Rawatan Warga dan Perumahan Staf.

Pada sebelah petang pula, Naib Canselor UMS menghadiri Sesi Bersama Pelajar UMSKAL di Dewan Utama.

Jamuan Iftar Naib Canselor bersama Pelajar UMSKAL turut diadakan yang memberi ruang dan peluang kepada beliau beramah mesra dengan pelajar.

Pada majlis itu, seramai 15 pelajar menerima bantuan kewangan sumbangan Pusat Islam UMS dan Program Food Bank daripada FKAL.

Terdahulu, seramai 20 pelajar menerima bakul makanan sumbangan daripada Sektor Pentadbiran Kolej Kediaman KAL dan Kota Kinabalu.

Turut hadir Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMSKAL, Fakhrul Arifin Nasrul dan Yang Dipertua Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) UMSKAL, Muhammad Afiq Naiser.

Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq kemudiannya menunaikan Solat Maghrib dan Isyak serta Solat Sunat Tarawih di Masjid Al-Hikmah UMSKAL.

Tamat.