Slider

15 pelajar UMSKAL terima bantuan kewangan, Food Bank dan makanan

SERAMAI 15 pelajar Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menerima bantuan kewangan sumbangan Pusat Islam UMS. 

Pada majlis itu juga mereka menerima bantuan ‘food bank’ daripada Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL). 

Semua sumbangan tersebut disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin sempena Sesi Naib Canselor UMS Bersama Pelajar UMSKAL di Dewan Utama pada 1 MEI 2021. 

Dr Taufiq turut menghadiri majlis berbuka puasa dan sesi beramah mesra dengan 107 pelajar. 

Terdahulu, seramai 20 pelajar menerima bakul makanan sumbangan daripada Sektor Pentadbiran Kolej Kediaman KAL dan Kota Kinabalu. 

Turut hadir Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, Pengarah UMSKAL, Prof Dr. Jualang Azlan Gansau, Penolong Naib Canselor (Strategik), Prof Madya Dr Mohd Rahimie Abd Karim dan Pengarah Pusat Pengurusan Non Resident dan Fasiliti Perumahan Pelajar, Hasmi Hashim. 

Hadir sama Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Prof Dr Abdullah Gani, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Mohamad Rizal Abdul Hamid, Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah dan Pengetua Kolej Kediaman, Hadzariah Ismail. 

Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMSKAL, Fakhrul Arifin Nasrul dan Yang Dipertua Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) UMSKAL, Muhammad Afiq Naiser juga menghadiri majlis tersebut yang bermula pukul 5 petang. 

Dr. Taufiq berharap menerusi sumbangan tersebut dapat meringankan beban keluarga di samping menceriakan pelajar meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. 

Beliau juga menasihatkan pelajar agar memanfaatkan kehadiran mereka di kampus dengan menimba sebanyak ilmu pembelajaran dan pengajaran yang diperolehi daripada pensyarah walaupun menerusi kaedah dalam talian. 

“Manfaatkan masa yang ada untuk meningkatkan ilmu bukan sahaja berkaitan kursus yang diambil tetapi juga mengeratkan persahabatan dengan rakan-rakan dari seluruh negara. 

“Pelajar juga perlu menjaga disiplin dan nama baik UMS serta tidak menghampakan harapan ibu bapa yang mahukan mereka menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara,”katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pelajar UMSKAL 2021.

Tamat.