Slider

Warga UMSKAL terima duit raya dan barangan keperluan

4 MEI 2021 – Seramai 10 kakitangan Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menerima bantuan duit raya dan barangan keperluan harian sumbangan daripada kakitangan UMSKAL sendiri sempena Program Sadaqah Ramadan UMSKAL 2021.

Mereka termasuk kakitangan yang telah meninggal dunia dan dua lagi pekerja syarikat swasta yang bertugas di kampus tersebut.

Pengarah UMSKAL, Prof Dr. Jualang Azlan Gansau menyerahkan sumbangan tersebut di pejabat kakitangan terbabit pada 4 Mei 2021.

Manakala waris kakitangan menerima sumbangan tersebut di kediaman mereka.

Turut hadir Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah, Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia (SPSM), Mas Adi Alimin dan Penyelaras Program, Che Din Md Salleh.

Sementara itu, Che Din berkata sumbangan tersebut sebagai tanda ingatan dan prihatin kepada kakitangan terbabit.

“Kami berharap menerusi sumbangan tersebut dapat menceriakan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini,”kata Che Din ditemui selepas majlis penyampaian duit raya dan barangan keperluan tersebut.

Che Din tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan UMSKAL yang menghulurkan sumbangan bagi membiayai program Sadaqah Ramadan UMSKAL 2021.

Tidak lupa beliau ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada AJK Pelaksana program yang bekerja keras memastikan program itu berjalan lancar.

“Inilah usaha dan inisiatif kakitangan UMSKAL untuk membantu rakan-rakan dan waris keluarga. Terima kasih kepada semua,”tambah Che Din.

Jelas Che Din, kaedah penyerahan sumbangan diubah pada tahun ini dengan menyerahkan sumbangan di pejabat tempat bekerja kakitangan bagi membolehkan Pengarah UMSKAL dan AJK Pelaksana melihat sendiri keadaan pejabat sambil beramah mesra dengan kakitangan yang lain.

“Menerusi program itu, Pengarah UMSKAL berpeluang beramah mesra dengan kakitangan yang lain dan meninjau keadaan pejabat yang dikunjungi,”kata Che Din.

Sementara itu, semua penerima mengucapkan terima kasih atas pemberian duit raya dan barangan keperluan harian sekaligus dapat menceriakan hari lebaran yang bakal tiba.

Semua petugas dan penerima sumbangan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19 termasuk memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal serta tidak berjabat tangan.

Tamat.