Sekolah Sains Informatik Labuan (SSIL) telah ditubuhkan pada Mei 1999 bertujuan untuk menampung pelajar-pelajar dalam bidang Teknologi Maklumat yang bersifat “soft science” dan berorientasikan persekitaran perdagangan. Pada Oktober 2003 Universiti Malaysia Sabah telah diiktiraf sebagai MSC-status oleh pihak MSC dan ini menggambarkan SSIL mempunyai potensi untuk menghasilkan graduan yang berkualiti pada masa akan datang. Sehingga kini SSIL menawarkan 2 program iaitu:
1) Sarjana Muda Sains (Teknologi Multimedia) dengan Kepujian
2) Sarjana Muda Teknologi Maklumat (E-Dagang) dengan Kepujian
Dewasa ini perkembangan teknologi maklumat amat ketara sekali malah ianya dianggap sebagai suatu perkara penting dalam kehidupan manusia yang merangkumi bidang pendidikan, ekonomi, sosial dan politik. Tambahan pula bidang ICT menjadi salah satu tumpuan perancangan di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10). Sejajar dengan itu, teknologi pengkomputeran dilihat sebagai medium utama dalam penyebaran ilmu serta maklumat dengan berkesan. Dengan adanya penguasaan ilmu ICT yang terhasil daripada kecanggihan penggabungan peranan di antara teknologi maklumat dan teknologi komunikasi ianya dapat merealisasikan matlamat dunia tanpa sempadan dimana penyampaian ilmu dan maklumat tidak dibatasi oleh masa dan tempat. Justeru pelaksanaan sesuatu kerja dapat dilakukan dengan lebih cekap dan dinamik.
Sebagaimana yang telah sedia maklum, untuk ekonomi berdaya saing dalam ekonomi global, negara perlu mencapai dan mengekalkan tahap pembangunan teknologi yang sekurang-kurangnya setaraf dengan pesaing-pesaing di peringkat antarabangsa. Kebolehan untuk mengurus teknologi baru dan memastikan tahap kualiti pengeluaran yang tinggi adalah kemahairan penting yang diperlukan jika negara berhasrat untuk bersaing di dalam pasaran dunia.
Kini, kemajuan komputer, teknologi interaktif dan Internet membolehkan video, audio, dan maklumat teks dapat diproses dan dipersembahkan secara kolektif sebagai satu dokumen multimedia. Sejak sedekad lalu, Internet dan web telah menjanjikan banyak perkembangan yang menarik. Internet adalah satu cabang industri komputer yang paling pesat berkembang. E-dagang adalah satu lagi aspek web yang mendapat perhatian yang memberangsangkan. Sekolah Informatik Labuan telah mengambil cabaran ini dengan menawarkan kursus yang sangat diperlukan; Multimedia dan E-Dagang.
Kedua-dua program telah direkabentuk bagi membolehkan para pelajar mengaplikasikan konsep teoritikal melalui penggunaan Teknologi Media Digital dengan berbagai-bagai kemudahan teknologi. Para graduan kursus ini akan menguasai kemahiran yang bernilai kepada syarikat, kecil dan besar, yang digunakan untuk kebaikan bidang yang berkembang ini.
Di samping itu, Sekolah Sains Informatik Labuan di bawah UMS Kampus Antarabangsa Labuan adalah Universiti awam pertama yang mmemperkenalkan program e-dagang dan merupakan universiti pertama di Malaysia yang hanya menekankan soft IT.






