LABUAN : Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) perlu menguasai Bahasa Inggeris bagi memudahkan mereka memperolehi pekerjaan yang diharapkan selepas menamatkan pengajian kelak.
Pengarah UMS-KAL, Prof Dr Shariff Abdul Kadir Omang berkata antara sebab kesukaran mahasiswa memperolehi pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan akademik mereka ialah kelemahan menguasai Bahasa Inggeris.
Katanya, kebanyakan jawatan penting terutama di sektor swasta mengutamakan kakitangan yang mampu berkomunikasi dalam bahasa tersebut untuk berurusan dengan pelanggan mereka yang bertaraf antarabangsa.
Sehubungan itu, Prof Dr Shariff menasihatkan mahasiswa agar berusaha dengan lebih gigih belajar menguasai bahasa antarabangsa itu termasuk menuturnya dengan rakan pada setiap hari.
“ Bahasa Inggeris digunakan dalam bilik kuliah, bahan bacaan juga dalam bahasa berkenaan serta komunikasi seharian yang memerlukan mahasiswa menguasainya dari sekarang, “ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Kursus Kepimpinan Mahasiswa (PIMPIN) Sesi 2012/2013 peringkat UMS-KAL di Dewan Theatrette pada 26 Jun 2012.
Seramai 98 peserta yang terdiri daripada mahasiswa Tahun Satu dan Dua menyertai kursus tiga hari dua malam itu yang bertujuan untuk membantu melancarkan proses pendaftaran pelajar baru pada September depan.
Mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah, latihan dalam kumpulan, riadah dan persembahan kebudayaan.
Turut hadir Timbalan Pendaftar UMS-KAL, Zamri Mohamad Tuah, Penolong Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Yuan Eddie Misran dan Penyelaras Program, Suffian Osman.
Prof Dr Shariff juga menasihatkan mahasiswa agar menguasai ilmu pengetahuan yang secukupnya sebagai bekalan pada masa depan, ilmu teknologi tanpa sempadan dan kemahiran memimpin.
Katanya, sebagai pemimpjn negara dan masyarakat pada masa akan datang, mahasiswa sewajarnya sudah menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dari sekarang kerana ruang dan peluang yang disediakan kerajaan sentiasa terbuka buat mereka.
Selain itu, beliau mahu mahasiswa menggunakan saluran yang disediakan untuk menyalurkan masalah yang mereka hadapi terutama yang berkaitan akademik dan kehidupan seharian di kolej kediaman.
“ Pihak pengurusan universiti sentiasa bersikap terbuka dan mendengar luahan hati mahasiswa untuk menangani masalah yang mereka hadapi tetapi ianya harus dilakukan dengan mengikut peraturan sedia ada, “ katanya.
Jelasnya, mahasiswa diberi ruang untuk membincangkan masalah yang mereka hadapi melalui Majlis Perwakilanp Pelajar (MPP) untuk disampaikan kepada pengurusan tertinggi universiti.
Namun begitu, beliau menasihatkan mahasiswa supaya tidak membuat keputusan di luar kemampuan dan had yang telah ditetapkan sebaliknya merujuk kepada ketua yang telah dipilih oleh mereka sendiri.
Tamat.















