LABUAN – Seramai 71 murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Kerupang (SKK) telah mengadakan Lawatan Sambil Belajar Tahun Enam sempena Program Pasca UPSR 2019 ke Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), pada 12 November 2019.

Ketua Rombongan, Inanis Fatinisupi Abdullah berkata lawatan itu bertujuan untuk mendedahkan murid dengan peluang kerjaya, menambah pengetahuan dan pengalaman kepada murid.

“Lawatan itu bertujuan untuk memberi perangsang kepada murid untuk memulakan platform dalam bidang akademik yang baik.

“Ia juga untuk memberi pendedahan kepada murid tempat menuntut ilmu di menara gading,”katanya dalam ucapan balas sempena lawatan itu di Dewan Kuliah, Podium Bangunan Menara UMSKAL.

Inanis yang juga Penolong Kanan Kokurikulum SKK berkata lawatan itu bertujuan untuk memberi sumber inspirasi kepada murid agar belajar dengan bersungguh-sungguh pada masa akan datang.

Lawatan itu turut disertai lima orang guru iaitu Junida Lahaja, Anisah Guasi, Theresa Primus, Nor Ailing Voo dan Louis Pulong.

Sementara itu, taklimat mengenai UMSKAL disampaikan oleh Penolong Pegawai Tadbir, Mohizam Mohamad yang mewakili Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah di Dewan Kuliah C, Bangunan Menara.

Sepanjang lawatan itu, murid dan guru diiringi serta diberikan taklimat oleh Mohizam dan Nor Atiqah Mustafa ke Aras 13 dan Makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) di Tingkat 9.

“Kami ucapkan terima kasih kepada Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik yang sudi menerima kunjungan murid Tahun Enam yang bakal memasuki UMSKAL pada masa akan datang,”katanya yang mewakili Guru Besar SK Kerupang, Hajah Aini Salleh.

Murid dan guru teruja ketika berada di Makmal FKI yang canggih selain terpesona dengan pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan yang dapat dilihat dari Aras 13 yang turut menempatkan Balai Cerapan.

UMSKAL kini menawarkan tujuh program iaitu lima di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan dua program di FKI.

Pada akhir lawatan, Inanis menyampaikan cenderamata kepada Mohizam sebagai tanda kenang-kenangan.

Tamat.