LABUAN - Lima orang pelajar Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menerima sumbangan sempena sambutan Deepavali 2019 peringkat UMSKAL pada 14 November 2019.

Mereka yang tergolong daripada keluarga berpendapatan rendah atau B40 menerima wang tunai daripada Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik di Bilik Sri Menanti, Bangunan Menara UMSKAL.

Majlis penyampaian sumbangan wang tunai daripada Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) itu turut dihadiri Pengerusi Persatuan Hindu Labuan, Datuk Ramasamy A/L Rengasamy.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Persatuan Hindu Labuan, Kapten (B) Thevendran Thangavelu, Pengetua Kolej Kediaman, Dr Hadzariah Ismail dan Penyelaras Program, Henry Bating.

Pengarah Program, Yugaindren A/L Alagas berkata majlis itu diadakan sempena Sambutan Deepavali Peringkat UMSKAL pada tahun ini.

Katanya, ia juga bertujuan untuk merapatkan hubungan perpaduan dalam kalangan pelajar dan kakitangan UMSKAL.

“Selain untuk meraikan Sambutan Deepavali, majlis itu diadakan untuk mengeratkan hubungan perpaduan dalam kalangan pelajar dan kakitangan UMSKAL,”katanya.

Jamuan yang pertama kali diadakan itu disajikan dengan pelbagai makanan tradisi masyarakat India sekaligus memperkenalkan makanan tersebut kepada kaum lain.

Pada majlis itu, Dr Murnizam turut mengagihkan 500 makanan tradisi masyarakat India iaitu Ladoo kepada pelajar, kakitangan dan pensyarah di ruang legar Bangunan Menara.

Sementara itu, Dr Murnizam mengucapkan terima kasih kepada Datuk Ramasamy yang banyak membantu menjayakan pelbagai program pelajar India termasuk acara kebiudayaan dan keagamaan serta kemasyarakatan yang membabitkan pelajar, kakitangan dan warga Labuan sendiri.

“Malah Datuk Ramasamy sering membantu menangani dan menyelesaikan isu yang membabitkan pelajar India di UMSKAL termasuk bantuan kewangan kepada pelajar kurang berkemampuan,”katanya.

Datuk Ramasamy pula merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak pengurusan UMSKAL yang sentiasa bekerjasama dalam memastikan kebajikan pelajar kaum India mendapat perhatian.

“Saya berharap komitmen baik daripada pihak pengurusan UMSKAL itu akan berterusan untuk manfaat semua pelajar termasuk pelajar India,”katanya.

Beliau turut menasihatkan pelajar India agar belajar bersungguh-sungguh dan menjaga nama baik keluarga serta aktif dalam pelbagai program di UMS Labuan.

“Mereka juga digalakkan melawat beberapa kawasan di Sabah dan menyelami kehidupan masyarakat khususnya di pedalaman Negeri di Bawah Bayu itu,”katanya.

Tamat.