LABUAN – Pesta Tamu Gadang Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) 2019 bermula Jumaat hingga 17 November ini.

Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik (gambar) berkata pelbagai program diadakan untuk menarik kehadiran orang ramai terutama warga Wilayah Persekutuan Labuan.

Antara program yang pertama kali diadakan ialah Bicara Santai yang menampilkan Mufti Negeri Perlis, Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Chm Dr Taufik Yap Yun Hin bersama moderator, Ustaz Abdul Basir Mahadi dengan tajuk ‘Dunia ku Tinggalkan’ di Dewan Utama selepas waktu Isyak.

Dr Mohd Asri akan menyampaikan Tazkirah Maghrib ‘Kepimpinan Rasulullah SAW’ di Masjid Al Hikmah UMSKAL.

Dr Murnizam berkata program lain ialah Pertandingan Beyblade, Cutey Catz Gathering, The Ghost House, Futsal Terbuka Lelaki, Horse Riding, Kids Got Talent, Extravaganza Fitness, UMSKAL Talent Night Dan The Voice Labuan.

“Buat pertama kalinya UMSKAL akan mengadakan Graduate Night Run yang menampilkan kira-kira 300 peserta.

“Manakala majlis penutupan akan diserikan dengan persembahan artis Atmosfera Band dan cabutan bertuah.

“Selama tiga hari itu juga diadakan jualan makanan dan minuman serta pelbagai barangan dan pameran agensi kerajaan,”katanya.

Beliau tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Penganjur yang diketuai Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah, pegawai, kakitangan dan pelajar yang berusaha gigih sejak beberapa bulan lalu untuk memastikan Pesta Tamu Gadang 2019 berjalan lancar.

Justeru itu, Dr Murnizam menjemput dan mengalu-alukan kehadiran dan penyertaan orang ramai khususnya warga Wilayah Persekutuan Labuan untuk bersama-sama memeriahkan program yang diadakan dari pukul 8 pagi hingga 11 malam.

“Pelbagai program yang diadakan boleh disertai oleh pelbagai lapisan umur dari kanak-kanak hinggalah warga emas termasuk wanita dan pelajar,”katanya.

Pesta Tamu Gadang diadakan sebagai simbolik Majlis Konvokesyen UMS 2019 yang akan diadakan di Dewan Canselor UMS Kota Kinabalu pada 23 hingga 25 November ini.

Malah katanya, program tahunan itu memberi peluang kepada peserta menonjolkan bakat, peniaga juga boleh menambah pendapatan sekaligus menjana ekonomi dan merancakkan industri pelancongan tempatan.

“Lebih utama penganjuran Pesta Tamu Gadang adalah untuk mengeratkan hubungan antara UMSKAL dengan warga Wilayah Persekutuan Labuan selain memberi peluang kepada pelajar UMSKAL menganjurkan pelbagai acara yang diadakan,”katanya.

Tamat.