LABUAN – Seramai 21 murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Lanas, Keningau (SKLK) telah mengadakan Lawatan Sambil Belajar sempena Program Pasca UPSR 2019 ke Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 18 November 2019.

Ketua Rombongan, Cikgu Rudim Bowie berkata lawatan itu bertujuan untuk mendedahkan murid dengan peluang kerjaya, menambah pengetahuan dan pengalaman kepada murid kehidupan di menara gading.

“Lawatan itu bertujuan untuk memberi perangsang kepada murid untuk memulakan platform dalam bidang akademik yang baik.

“Ia juga untuk memberi pendedahan kepada murid tempat menuntut ilmu di menara gading,”katanya dalam ucapan balas sempena lawatan itu di Dewan Kuliah, Podium Bangunan Menara UMSKAL.

Rudim yang juga Penolong Kanan Pentadbiran SKLK berkata lawatan itu bertujuan untuk memberi sumber inspirasi kepada murid agar meneruskan kecemerlangan untuk mencapai cita-cita mereka memasuki IPTA.

Lawatan itu yang turut disertai tiga orang guru dan dua Pembantu Pengurusan Murid (PPM) diharap dapat merehatkan fikiran murid selepas menduduki UPSR pada tahun ini.

Sementara itu, taklimat mengenai UMSKAL disampaikan oleh Penolong Pegawai Tadbir, Mohizam Mohamad yang mewakili Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah di Dewan Kuliah D, Bangunan Menara.

Sepanjang lawatan itu, murid dan guru diiringi serta diberikan taklimat oleh Mohizam dan Nor Atiqah Mustafa ke Aras 13 dan Makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) di Tingkat 9 serta Bilik Eureka.

“Kami ucapkan terima kasih kepada Pengarah UMSKAL, Prof Dr Murnizam Haji Halik yang sudi menerima kunjungan murid Tahun Enam yang bakal memasuki UMSKAL pada masa akan datang,”katanya yang mewakili Guru Besar SK Lanas, Mohd Yusri Abdullah.

Murid dan guru teruja ketika berada di Makmal FKI yang canggih selain terpesona dengan pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan yang dapat dilihat dari Aras 13 yang turut menempatkan Balai Cerapan.

UMSKAL kini menawarkan tujuh program iaitu lima di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan dua program di FKI.

Selain UMSKAL, murid dan guru SK Lanas turut melawat Taman Burung, Chimney, TUDM dan Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua.

“Saya yakin menerusi lawatan itu, murid dan guru dapat melihat sendiri pembangunan pesat Labuan yang telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984,”tambah Rudim.

Pada akhir lawatan, Rudim menyampaikan cenderamata kepada Mohizam sebagai tanda kenang-kenangan.

Tamat.