Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) ditubuhkan pada 1hb Jun 2002 dan juga beroperasi di UMS Kampus Antarabangsa Labuan. Dasar dan Falsafah PKPP adalah bagi melahirkan mahasiswa yang seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani, membangunkan ketahanan fizikal, mental dan spiritual pelajar, menjana pemikiran kreatif, inovatif, produktif dan proaktif serta menanamkan semangat keyakinan dan cekal menghadapi cabaran. Orientasi pengurusan Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar adalah memberi perkhidmatan terbaik dalam perlaksanaan pembelajaran dan pengajaran kokurikulum yang merupakan kursus teras Universiti, serta membangunkan daya dan potensi kemahiran insaniah pelajar melalui aktiviti-aktiviti pembelajaran dan pemajuan pelajar.

Program kokurikulum  ditawarkan  dalam pelbagai bidang yang releven dengan tuntutan masyarakat serta keperluan dalam sektor pekerjaan masa kini. Setiap pelajar UMS wajib mengambil salah satu kursus kokurikulum yang ditawarkan sebagai sebahagian daripada keperluan pengijazahan, dan pencapaian gred dalam kursus ini di kira dalam pengiraan PNGK. Bagi pelajar yang mempunyai merit 2.4 dan kebawah semasa kemasukan ke Universiti, hendaklah dan diwajibkan mengambil salah satu daripada kursus berasaskan uniform samada PALAPES, SUKSIS (UMS Induk sahaja) atau UMS-SiswaJatidiri (UMS-SEJATI) seperti yang diluluskan oleh Senat Universiti Malaysia Sabah dalam mesyuarat senat Bil 5/2008 (kali ke-68).

Kursus kokurikulum dinilai sebanyak Tiga (3) jam kredit untuk satu semester kecuali kursus PALAPES (Darat & Udara) dan SUKSIS yang dinilai sebanyak satu  jam kredit bagi setiap semester selama enam semester. Bagi pelajar yang mengambil kursus UMS-Siswa Jatidiri (UMS-SEJATI) akan dinilai sebanyak satu  jam kredit bagi satu semester selama Tiga semester. Pelajar yang berjaya menamatkan kursus PALAPES, SUKSIS dan UMS SEJATI akan ditauliahkan mengikut pasukan masing-masing.

Kuliah teori dan amali kursus kokurikulum dijalankan pada setiap hari sabtu dan ahad dengan jumlah 3 jam kontek setiap minggu atau pertemuan, atau mengikut keperluan kursus yang didaftarkan. Orientasi pembelajaran kursus adalah 30% teori dan falsafah, dan 70% amali/praktikal/studio. Pelajar juga diwajibkan berpatisipasi dalam aktiviti kepimpinan dan kemasyarakatan yang dikenali sebagai program ‘UMS-SiswaPrihatin’ (UMS-SPRINT) bertujuan untuk membangunkan potensi kemahiran insaniah khususnya dari aspek interaksi sosial dan kemasyarakatan, serta penerapan nilai-nilai team-working dan kepimpinan.  Bagi pelajar-pelajar yang mengikuti komponen sukan dan kebudayaan, Karnival Kokurikulum memberi peluang kepada pelajar mempamerkan bakat dan potensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi oleh Unit/Jabatan dan Pusat yang berkaitan di UMS. Tenaga pengajar program kokurikulum adalah dari kalangan yang terpilih dan yang berprestasi cemerlang dalam bidang masing-masing. Pelajar dibimbing secara professional dan bersistematik bagi mencapai output kursus yang  maksima.

Aras 2, UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Jalan Sungai Pagar, W. P. Labuan.
Tel: 087 - 460482
Faks: 087 - 466763
IP Phone: 614230