LABUAN : Kira-kira 70 pegawai, pensyarah dan kakitangan Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Madrasah Tahfiz Al-Quran Sri Merinding, Kampung Layang-Layang, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana, Prof Madya Dr Syed Nasirin Syed Zainol Abidin berkata program yang bermula pukul 8 pagi itu diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat UMS yang diadakan di Kota Kinabalu pada hujung bulan ini.

 

Beliau yang juga Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) berkata sempena program itu, UMSKAL menyampaikan sumbangan sebuah kabinet dapur, tiga jemuran kain, sebuah rak kasut dan dua buah meja makan.

“ Program CSR UMSKAL itu akan memberi manfaat kepada 60 pelajar di Madrasah Tahfid Al-Quran Sri Merinding, “ katanya ditemui selepas menyampaikan sumbangan kewangan sebanyak RM1,680 kepada Pengetua Madrasah, Haji Arif Aliskah.

Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Zamri Mohamad Tuah yang mewakili Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik dan Penolong Pendaftar Kanan FKAL, Norhanizah Adnan serta Penyelaras Program, Che Din Md Salleh.

Syed Nasirin berkata warga UMSKAL juga mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar seperti memotong rumput, melap cermin dan membina laluan berbukit serta menanam pokok buah-buahan seperti mangga, rambutan dan kelapa.

Beliau berharap sumbangan UMSKAL itu akan membantu memajukan madrasah berkenaan serta perkembangan syiar Islam selain merapatkan lagi hubungan baik antara kedua-dua pihak.

“ Program itu sesuai dengan hasrat Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah untuk memasyarakatkan UMS dengan golongan yang memerlukan, “ katanya.

Katanya, sebagai IPTA yang tunggal di Wilayah Persekutuan Labuan, UMSKAL mahu menjalinkan hubungan lebih rapat dengan organisasi yang terbabit secara langsung dengan perkembangan syiar Islam khususnya di bidang Al-Quran.

Lebih menarik, kata Syed Nasirin, sempena program itu, kakitangan UMSKAL yang diketuai Penolong Akauntan Kanan, Ruby Zawati Timbang memasak sendiri untuk menjamu pelajar tersebut makan bersama-sama warga universiti.

Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam mengucapkan terima kasih kepada semua staf yang menjayakan program dan berharap aktiviti seperti itu akan diadakan lagi pada masa depan.

Sementara itu, Haji Arif berkata pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM10,000 untuk menampung pelbagai perbelanjaan termasuk gaji tenaga pengajar, makan minum dan keperluan seharian pelajar serta bayaran utiliti.

Katanya, walaupun menerima sumbangan dan bantuan daripada pelbagai pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan namun ianya masih tidak mencukupi kerana sumbangan itu tidak menentu pada setiap bulan.

“ Kami masih memerlukan bantuan daripada mana-mana pihak yang sudi menghulurkan sumbangan untuk menampung perbelanjaan 60 pelajar termasuk makan minum, gaji tenaga pengajar dan bayaran utiliti, “ katanya.

Arif berkata pada masa ini terdapat kira-kira 60 pelajar yang berusia antara 8 hingga 22 tahun yang berasal dari Sabah, Sarawak, Semenanjung, Brunei, Indonesia dan Australia selain pelajar tempatan.

Katanya, madrasah yang ditubuhkan sejak 1996 dengan keluasan kira-kira tiga ekar itu menawarkan pengajian menghafaz Al-Quran yang membabitkan pembacaan surah Yassin, membaca doa harian dan mengerjakan amalan-amalan wajib sebelum dan selepas tidur.

“ Kami juga mendidik pelajar supaya pandai menangkap ikan, bercucuk tanam dan aktif di bidang sukan dan rekreasi serta bergaul dengan masyarakat tempatan, “ katanya.

Beliau juga berbangga kerana terdapat anak muridnya yang telah menghafaz 30 juzuk Al-Quran dalam masa empat bulan yang merupakan satu rekod cemerlang di negara ini selain membuka madrasah sendiri di seluruh negara dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di dalam dan luar negara.

Pada masa sama, Arif berbangga kerana madrasah tersebut telah mengeluarkan produk makanan sendiri iaitu pudding kelapa dan dadih yang mendapat tempahan yang menggalakkan daripada orang ramai termasuk restoran, jabatan dan agensi kerajaan yang mengadakan jamuan dan majlis keramaian.

Pada pertemuan itu, beliau tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan Setiausaha Politik Menteri Wilayah, Mohd Rafi Datuk Alli Hassan yang banyak membantu dari kewangan dan keperluan harian pelajar berkenaan.

Selain itu, ucapan terima kasih kepada Perbadanan Labuan, Petronas, Labuan Liberty Port Management (LLPM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“ Kami sentiasa mendapat bantuan daripada orang ramai, agensi kerajaan, swasta dan NGO yang prihatin dengan kebajikan pelajar sekaligus mahu membantu mengembangkan syiar Islam khususnya yang berkaitan penghafazan Al-Quran di negara ini, “ katanya.

Arif menjelaskan untuk menampung perbelanjaan mereka, pelajar tersebut diajar untuk menangkap ikan, bercucuk tanam dan berniaga secara kecil-kecilan sekaligus menanam sikap berdikari dan berusaha bersungguh-sungguh.

Sementara itu, katanya Madrasah Tahfiz itu yang berdaftar dengan JAWI Labuan, akan membuka kelas pengajian Al-Quran untuk golongan dewasa dan remaja pada awal Jun depan bagi memenuhi permintaan orang ramai khususnya mereka yang mahu mendalami pengajian Al-Quran.