LABUAN : Kira-kira 149 pelajar Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) telah menghadiri sesi motivasi di Dewan Kuliah, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), baru-baru ini.

Mereka yang terdiri daripada 65 pelajar Tingkatan Satu dan 84 pelajar Tingkatan Dua itu mengikuti motivasi yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal.

 

Motivasi bertajuk Motivation In Education itu dianjurkan Unit Bimbingan dan Kaunseling SM Sains Labuan.

Dr Geoffrey yang juga Timbalan Pengarah UMSKAL menasihatkan pelajar supaya tekun belajar bukan sahaja untuk meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan tetapi juga menimba ilmu untuk menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Katanya, sebagai pelajar cemerlang yang terpilih memasuki SM Sains Labuan, mereka seharusnya menjadi contoh dan teladan kepada pelajar lain di negara ini dan ahli keluarga mereka sendiri.

Beliau menambah untuk menjadi pelajar cemerlang, mereka perlu mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di kelas yang dibimbing guru yang berkelayakan dan berpengalaman.

“ Pelajar juga wajar mendengar dan mematuhi nasihat daripada ibu bapa yang sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak mereka, “ katanya.

Pada masa sama, Geoffrey berharap pelajar SM Sains Labuan akan menjadi pemimpin dalam pelbagai bidang pada masa depan dan kembali menabur bakti kepada sekolah yang tentunya menyimpan banyak kenangan yang mengajar mereka erti kehidupan berdikari.

Katanya, sebagai pelajar yang menginap di sebuah sekolah berasrama penuh sudah pasti mereka berhadapan pelbagai cabaran yang sepatutnya memberi mereka kekuatan dalam menghadapi kehidupan seharian dan masa akan datang.

Beliau juga mengingatkan pelajar supaya tidak leka dan membuang masa terutama semasa cuti persekolahan tetapi haruslah menggunakannya dengan mengulangkaji pelajaran atau membuat tugasan yang diberi oleh guru masing-masing.

Tamat.