LABUAN : Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), mahu rakyat mempraktikkan amalan gaya hijau ketika masih menuntut lagi termasukdi menara gading.

Menterinya, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili, berkata dalam hubungan ini, semua warga UMS Kampus Antarabangsa Labuan dapat mengambil peranan dengan mempraktikkan amalan gaya hidup hijau dan dalam menjayakan Dasar Teknologi Hijau Negara.

 

Katanya, pelbagai pendekatan mudah boleh diamalkan dalam kehidupan seharian antaranya termasuk langkah-langkah penjimatan penggunaan elektrik dan air di asrama dan bangunan akademik seperti memadamkan lampu dan kipas jika tidak digunakan, memastikan paip air ditutup dengan ketat bagi mengelakkan pembaziran air dan sebagainya.

Selain itu, amalan kitar semula iaitu dengan kaedah 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle merupakan antara langkah-langkah kecil dan mudah tetapi berkesan yang boleh kita amalkan seharian.

“ Warga kampus juga digalakkan untuk mengguna bekas makanan biodegradable di kafeteria-kafeteria kolej, “ katanya.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Hijau Malaysia berkata demikian ketika merasmikan program Yahijau Green Youth anjuran Yayasan Hijau Malaysia di Dewan Kuliah Pusat 1, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Sabtu lalu.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan sebuah perahu sebagai simbolik pembersihan pantai oleh warga universiti khususnya mahasiswa.

Turut hadir Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee, Timbalan Ketua Setiausaha (Teknologi Hijau dan Air), Datuk Harjeet Singh, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga), Dato’ Dr. Nadzri Yahaya, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Hijau Malaysia, Kelly Ang Lay Chieng dan Timbalan Pengarah Kampus, UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal yang mewakili Pengarah, Prof Madya Dr Murnizam Halik.

Maximus berkata universiti merupakan medan kepada mahasiswa untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman untuk menempuh perjalanan hidup masa hadapan.

Sebagai pelapis barisan kepimpinan negara, adalah penting elemen-elemen kelestarian diterap dalam jati diri mahasiswa dan sekaligus diambil kira dalam proses membuat keputusan.

Pendekatan ini juga berupaya mencetuskan pemikiran inovasi dan idea-idea baru dalam menghasilkan lebih banyak produk-produk mesra alam menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (Research & Development).

Dalam hubungan ini, para siswazah juga digalakkan untuk merebut peluang keemasan dalam bidang keusahawanan hijau khususnya dalam penghasilan produk-produk tempatan yangt mesra alam yang mampu menembusi pasaran dalam dan luar negara.

Pihak Pengurusan UMS juga boleh menggalakkan amalan gaya hidup hijau dengan melaksanakan audit tenaga bagi menilai dan mengenal pasti potensi dan peluang penjimatan tenaga di keseluruhan kampus. Selain itu, pihak pengurusan juga digalakkan untuk melaksanakan perolehan hijau bagi produk-produk yang memenuhi kriteria dan standard alam sekitar sebagai usaha ke arah pemuliharaan alam semulajadi serta meminimumkan kesan negatif aktiviti manusia.

Untuk mencapai status maju menjelang tahun 2020 iaitu dalam masa 5 tahun lagi, kerajaan berharap rakyat akan memain peranan dalam mempraktikkan amalan gaya hidup hijau dalam kehidupan seharian.

Maximus berkata penganjuran program YaHijau Green Youth ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pendidikan dan kesedaran awam anjuran Yayasan Hijau Malaysia untuk membudayakan di kalangan rakyat Malaysia gaya hidup hijau termasuk melalui aplikasi teknologi hijau.

Objektif penganjuran program yang julung kali diadakan oleh YaHijau pada tahun ini adalah bagi menterjemahkan perubahan minda dan kepentingan amalan gaya hidup hijau di kalangan warga Labuan, khususnya para belia supaya lebih memahami, menghayati dan seterusnya mengamalkan konsep hijau dalam kehidupan seharian.

Program YaHijau ini turut melibatkan agensi-agensi KeTTHA seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suruhanjaya Tenaga (ST), Malaysian Green Technology Corporation (MGTC), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Jabatan Bekalan Air Labuan serta penyertaan daripada Indah Water Konsortium (IWK) dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dalam aktiviti pameran dan promosi. Pendekatan sebegini membolehkan pihak Kementerian mendekati masyarakat.

Kerajaan mempunyai satu komitmen besar untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon dalam negara seperti yang telah dizahirkan oleh Perdana Menteri bahawa Malaysia berhasrat untuk mengurangkan pengeluaran Greenhouse Gases (GHG) sehingga 40% intensiti karbon menjelang 2020, berbanding tahap pada tahun 2005. Ini adalah sumbangan negara dalam menangani isu perubahan iklim global.

Di peringkat Kementerian, usaha ke arah pengurangan pengeluaran GHG tersebut disokong dengan pelancaran Dasar Teknologi Hijau Negara pada tahun 2009. Dasar ini mendefinisikan skop Teknologi Hijau serta sasaran pencapaian menjangkaui tahun 2020. Ia menggariskan arah tuju kepada pembangunan mampan dan bersepadu bagi memastikan persekitaran yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Dengan segala inisiatif dan usaha-usaha yang telah dijalankan, Malaysia setakat ini telah berjaya mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 33% berbanding sasaran pengurangan sebanyak 40%. Pencapaian ini merupakan satu perkembangan yang memberangsangkan dan sebahagian besar telah disumbangkan melalui aplikasi teknologi yang lebih canggih dan bersih, dan bahan api yang lebih mesra alam.

Selain itu, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli dalam laporan Roadmap of Carbon Intensity Reduction in Malaysia telah mengunjurkan bahawa pengurangan intensiti karbon sebanyak 44% menjelang 2020 dan 53% menjelang 2030 berpotensi dicapai sekiranya langkah-langkah mitigasi yang telah dikenal pasti dalam sektor tenaga, proses industri, pengurusan sisa, dan pertanian serta guna tanah dilaksanakan sepenuhnya.

Melangkah ke hadapan, Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim (MTHPI) yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri telah meluluskan beberapa langkah untuk memenuhi aspirasi agenda pembangunan Teknologi Hijau dan menangani isu perubahan iklim negara.

Bagi menyediakan hala tuju dan persekitaran yang kondusif untuk menyokong pembangunan teknologi hijau, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) telah merangka Pelan Induk Teknologi Hijau (Green Technology Master Plan) yang telah dipersetujui oleh mesyuarat tersebut.

Pelan Induk ini mengandungi strategi dan pelan tindakan yang memfokus kepada usaha meningkatkan potensi perniagaan hijau melangkaui ‘business as usual’, dengan jangkaan sumbangan sebanyak RM22.4 bilion kepada KDNK pada tahun 2020 dan RM60 bilion menjelang tahun 2030.

Pelaksanaan Pelan Induk ini dijangka dapat meningkatkan pewujudan pekerjaan hijau dari 84,565 tenaga kerja pada tahun 2014 kepada 144,590 tenaga kerja pada tahun 2020 dan seterusnya seramai 211,500 tenaga kerja pada tahun 2030.

Dalam pada itu, bagi memastikan sektor pengurusan sisa lebih dinamik dan berkesan, program National Waste Grid melalui kerjasama di antara KeTTHA dan Malaysian Industry Government for High Technology (MIGHT) akan dilaksanakan. Program ini dijangka akan menjana perkembangan ekonomi baru yang pesat berasaskan penghasilan produk hijau bermutu tinggi menggunakan pendekatan pengurusan sisa secara holistik berdasarkan model kerjasama pintar kerajaan-swasta.

Melalui pendekatan ini, penggunaan bahan sisa sebagai bahan mentah daripada proses penjanaan sehingga ke proses pelupusan sisa dapat diperluaskan serta mendorong industri kitar semula untuk berkembang maju, memberikan pulangan lumayan kepada negara di samping dapat menjaga kelestarian alam sekitar. Produk hijau bermutu tinggi yang dihasilkan daripada bahan buangan ini dapat diguna semula dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber semulajadi.

MTHPI juga telah bersetuju untuk memperkasakan industri Green-Blue Packaging di Malaysia bagi mewujudkan industri pembungkusan hijau. Ini akan menyumbang kepada pembangunan industri teknologi hijau tempatan serta membantu pertumbuhan dan peningkatan industri Perusahaan Kecil Sederhana.

Untuk itu, dasar bagi penggunaan Green-Blue Packaging akan dibangunkan dan bagi menyokong pembangunan Putrajaya sebagai Perbandaran Hijau. Dasar Green-Blue Packaging ini akan digunapakai oleh premis-premis makanan di sekitar Putrajaya sebagai projek perintis.

Dalam usaha meningkatkan perkembangan kenderaan elektrik di Malaysia, pengwujudan Pelan Tindakan Mobiliti Elektrik Negara pula telah diluluskan. Pelan tindakan ini memberi fokus kepada tiga perkara utama iaitu mempromosi dan menggalakkan kenderaan elektrik dalam pengangkutan awam, memperkukuh ekosistem mobiliti elektrik dan infrastruktur stesen pengecas serta mempercepatkan peluang pembangunan teknologi mobiliti elektrik tempatan. Sebanyak 300 stesen pengecas dengan dana RM5 juta akan dibina sepanjang tahun 2015.

Yayasan Hijau Malaysia atau YaHijau telah ditubuhkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) pada 2 Mac 2014 sebagai sebuah syarikat yang tidak bermotifkan keuntungan. Ia bertanggungjawab untuk mempromosi dan meningkatkan kefahaman, pendedahan dan penghargaan serta minat yang meluas dalam memperkasakan gaya hidup hijau di kalangan rakyat termasuk pelajar-pelajar universiti dan sekolah.

Penubuhan YaHijau ini adalah adalah selaras dengan Teras Strategik Kelima, Dasar Teknologi Hijau Negara khusus dalam mempromosi dan meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan nilai alam sekitar.

Pelbagai aktiviti telah dirangka untuk menyemai dan memupuk amalan hidup hijau terutamanya di kalangan golongan muda dan penyertaan sukarelawan di peringkat akar umbi amat dialu-alukan untuk bersama-sama KeTTHA dan YaHijau untuk menjayakan agenda ini.