LABUAN : Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnnity Ongkili telah merasmikan Pesta Ponggal peringkat Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 28 Februari lalu.

Majlis yang berlangsung di ruang legar bangunan menara itu turut dihadiri Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal yang mewakili Pengarah, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik.

 

Hadir sama Ketua MIC Labuan, Ramasamy Rengasamy, Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Labuan, Mimie D Selvakumar, Penyelaras Program, Dr Anath Rau Krishnan dan Pengarah Program, Theeban Raj A/L Gunasakaran.

Sambil mengucapkan tahniah kepada mahasiswa UMSKAL, Dr Maximus mahu tradisi masyarakat pelbagai kaum di negara ini akan diteruskan bukan sahaja untuk meraikan sesuatu perayaan tetapi juga untuk mengeratkan lagi hubungan antara kaum di negara ini.

Katanya, rakyat negara ini amat bertuah kerana masih mampu menyambut sesuatu perayaan kaum walaupun hidup dalam kepelbagaian kaum berbanding di beberapa negara yang sentiasa bergolak dengan peperangan dan persengketaan.

Beliau berkata dengan adanya majlis seperti itu, kaum lain khususnya mahasiswa dan masyarakat amnya akan mengenali dan mengetahui adat dan budaya masyarakat India di negara ini.

“ Perayaan seperti ini akan merapatkan lagi hubungan antara kaum di negara ini khususnya antara mahasiswa dengan masyarakat setempat. Pesta Ponggal harus diteruskan agar orang lain dapat mengetahui dan mengenali adat dan budaya masyarakat India, “ katanya.

Dr Maximus juga menasihatkan mahasiswa supaya sentiasa menjaga hubungan baik yang sedia terjalin bukan sahaja sesama mereka tetapi juga dengan masyarakat dan pemimpin setempat.

Selain itu, beliau mahu mereka membabitkan diri dengan kegiatan kemasyarakatan sekaligus mampu mengenali adat dan budaya masyarakat tempatan khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan.

Pada masa sama, Dr Maximus juga yakin pembabitan aktif mereka dalam pelbagai program kemasyarakatan akan membuktikan keistimewaan yang mereka miliki sebagai individu berpendidikan tinggi.

“ Mahasiswa perlu membabitkan diri dengan program kemasyarakatan sekaligus dapat mempromosikan UMSKAL sebagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang unggul di Wilayah Persekutuan Labuan, “ katanya.