LABUAN : Pemangku Bendahari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Zallifah Shadan telah mengadakan majlis ramah mesra dengan Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), petang Rabu.

Beliau yang diiringi Timbalan Bendahari Kanan, Saimah Ismail berkata program itu diadakan untuk mendengar sendiri masalah yang dihadapi mahasiswa melalui Exco MPP yang dipilih oleh mereka sendiri.

 

Zalifah berharap dialog dan sesi soal jawab tersebut dapat merungkai sedikit sebanyak permasalahan yang dihadapi mahasiswa terutama yang berkaitan kewangan dan yuran pengajian.

Turut dibincangkan program keusahawanan untuk menggalakkan mahasiswa menjana pendapatan bagi menampung perbelanjaan dan kos penganjuran aktiviti yang dirancang.

Bagaimanapun, Zalifah mengingatkan mahasiswa supaya tidak lupa membayar yuran pengajian bagi mengelak sebarang masalah semasa pengajian mereka di UMS.

“ Mahasiswa perlu membayar yuran pengajian sebelum pendaftaran kursus di UMS bagi mengelak sebarang masalah berkaitan, “ katanya di Bilik Mesyuarat Bahagian Kewangan, Aras 4, Bangunan Menara.

Zalifah berkata majlis itu juga diadakan untuk mengeratkan hubungan baik yang sedia terjalin antara pegawai Jabatan Bendahari dengan mahasiswa yang diwakili empat Exco MPP UMS Labuan.

Turut menyertai perbincangan itu ialah Ketua Bahagian Kewangan UMSKAL, Mohd Nazir Ab Manan, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Mas Adi Alimin dan Naib Presiden MPP, Amos Peter.