LABUAN - Dua Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah mengendalikan Bengkel Penulisan Laporan Kajian Tindakan anjuran Kolej Matrikulasi Labuan (KML), Sabtu lalu.

Mereka ialah Dr. Zamhar Iswandono Awang Ismail dan Dr. Muzaffar Hamzah yang merupakan pensyarah dari Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMSKAL.

Bengkel yang berlangsung selama sehari di Pusat Sumber, KML itu dihadiri 52 orang pensyarah kolej berkenaan.

Pengerusi program, Chong Pei Yee berkata bengkel itu bertujuan mewujudkan budaya penyelidikan dan mempergiatkan aktiviti penyelidikan dalam kalangan pensyarah demi meningkatkan akademik pelajar selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Para peserta menyertai bengkel tersebut yang dibahagikan kepada tiga slot iaitu Slot 1 Penulisan Abstrak dan Permasalahan Kajian, Slot 2 Objektif dan Metodologi Kajian serta Slot 3 merupakan Analisis Data Kualitatif.

Mereka berharap agar maklumat yang diperoleh melalui bengkel ini dapat digunakan sebagai panduan dalam menghasilkan kajian tindakan pada masa yang akan datang seterusnya mencapai matlamat pelaksanaan program ini.