LABUAN : Seramai 50 orang Ahli Jawatankuasa Indian Cultural Nite (ICN) 2015 telah mengadakan program Khidmat Komuniti di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Mutiara, Kampung Ganggarak, baru-baru ini.

Program yang diadakan sempena Indian Cultural Nite 2015 itu bagi menunjukkan ICN bukan sekadar satu program kebudayaan dan kesenian semata-mata tetapi sebagai satu program kemanusiaan dan kebajikan kepada golongan yang memerlukan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Ianya juga untuk merapatkan hubungan antara pelajar Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dengan komuniti setempat.

Turut hadir Penolong Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMSKAL, Mohd Fadzli Sarudi dan Pengarah Program ICN 2015, Thinakaran A/L Suppiah.

Kunjungan AJK ICN itu disambut oleh Penyelia PDK Mutiara, Puan Safiah Nikman.

Mohd Fadzli yang juga Penyelaras Indian Culutral Nite 2015 mengucapkan terima kasih kepada PDK Mutiara yang sudi menerima kunjungan AJK ICN sekaligus pelajar UMSKAL yang ingin tahu fungsi PDK Mutiara kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Beliau yang mewakili Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik berkata pihak university bersedia membantu PDK Mutiara dalam menjalankan kerja-kerja amal yang bakal disertai pelajar dan kakitangan UMSKAL pada masa depan.

Kunjungan itu juga merupakan salah satu pengisian bagi ICN 2015 yang dijayakan oleh pelajar berbilang kaum di UMSKAL.

“ Kami berharap hubungan antara kedua-dua pihak akan berkekalan bagi memupuk semangat kasih saying antara mahasiswa dengan PDK Mutiara, “ katanya.

Tamat.