LABUAN : Kelab Gerakan Pengguna Siswa(GPS) Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menganjurkan Bengkel Fotografi 2015, baru-baru ini.

Bengkel anjuran dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Labuan itu dikendalikan oleh jurugambar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Hatta Yunus.

Seramai 20 peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan peminat fotografi termasuk kakitangan kerajaan dan swasta menyertai bengkel dua hari itu.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar,  Mohd Fadzli Sarudi yang mewakili Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik.

Turut hadir wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan Labuan, Salina Matalip dan Pengarah Program, Muhammad Azreen Adnan yang juga Exco Publisiti Dan Multimedia Kelab Gerakan Penggunav Siswa UMSKAL.

Bengkel tersebut diadakan di Dewan Kuliah Pusat dan Makmal E-Commerce Application Research and Development Tingkat 9, Bangunan Menara UMS Labuan.

Pada hari pertama bengkel, peserta didedahkan dengan kemahiran menggunakan kamera Digital Single-Lens Reflect(DSLR), fokus kepada tiga komponen asas iaitu ISO, Speedshutter dan Aperture serta perlu mengimbangkan ketiga-tiga komponen ini untuk mendapatkan kualiti gambar yang baik.

Sementara pada hari kedua bengkel, telah diadakan sesi fotoshot di gelanggang bola sepak pantai UMSKAL dan cara-cara mengedit gambar dengan menggunakan software "adobe Lightroom".

Tamat.