LABUAN – Kempen derma darah anjuran Sekretariat Pencegah Rasuah Universiti Malaysia Sabah (SPRUMS) Cawangan Labuan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), baru-baru ini.

Program yang menyasarkan warga UMSKAL itu bagi meningkatkan jumlah penderma darah di Wilayah Persekutuan Labuan di samping dapat mendedahkan kebaikan menderma darah pada kesihatan individu.

Penyelaras program, Roji Sinun berkata objektif kempen ini bukan sahaja untuk membantu pihak hospital menambah bekalan darah tetapi juga untuk memupuk nilai integriti dan prihatin dalam setiap individu yang hadir untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan.

Katanya, kempen ini dilaksanakan bagi melahirkan pelajar yang aktif bukan sahaja dari segi akedamik tapi dalam semua aspek terutama sahsiah dan kerohanian mahasiswa.

Kira-kira 134 orang tampil menderma darah termasuk ahli dalam kempen yang dianjurkan SPRUMS dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dengan Hospital Labuan.

SPRUMS menyasarkan golongan belia kerana mereka merupakan golongan yang aktif dan mempunyai pengaruh terhadap rakan sebaya mereka sekali gus dapat menarik dalam kalangan mereka untuk menderma darah.

Pengarah Program, Syahidah Mahmud mengucapkan terima kasih kepada semua penderma sekaligus membantu menambah bekalan darah di Hospital Labuan.

Kempen yang bermula dari 9 pagi hingga 3 petang diadakan di Bilik Sri Menanti, Menara UMSKAL itu dikendalikan Unit Tabung Darah, Hospital Nukleus Labuan yang diketuai Penyelaras Kempen Derma Darah, Raiman Lubugan dan kakitangan Unit Tabung Darah.

Tamat.