LABUAN – Seramai 10 keluarga yang miskin, tinggal bersendirian dan Orang Kelainan Upaya (OKU) telah menerima sumbangan daripada penganjur program Ang Pau Night, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabagsa Labuan (UMSKAL) 2016.

 

Mereka menerima sumbangan berupa barang keperluan harian seperti beras, gula, minyak, milo dan barangan elektrik.

 

Sumbangan tersebut diperolehi daripada kutipan tiket sempena program Ang Pau Night pada 26 Mac lalu di Dewan Konvensyen, Kompleks Ujana Kewangan Labuan.

 

Pengarah Program, Tham Jing Ting berkata program itu bertujuan untuk mempamerkan kebudayaan tradisional kaum orang Cina kepada kaum-kaum lain supaya lebih mengenalinya.

 

Katanya, jawatankuasa Ang Pau Night telah bersetuju untuk menderma 30% daripada penjualan tiket kepada golongan yang memerlukan di Kampung Lubok Temiang, Sungai Labu, Rancha-Rancha, Sungai Keling, Batu Manikar, Tanjung Purun, dan Taman Victoria, Tanjung Bendera di Wilayah Persekutuan Labuan.

 

Terdapat tiga kategori tiket yang telah dijual iaitu (495 keping tiket X RM18 = RM8,910, 280 keping tiket X RM28 = RM7,840, 200 keping tiket X RM38 = RM7,600).

 

Hasil jumlah penjualan tiket ialah RM24,350 dan 30% yang bersamaan dengan RM7,305 telah disumbangkan kepada masyarakat yang memerlukan.

 

“Kami telah bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan untuk mendapatkan maklumat tentang warga emas yang hidup bersendirian dan terdapat beberapa keluarga di mana mereka mempunyai ahli keluarga yang kurang upaya,”katanya.

 

Perbelanjaan setakat ini adalah RM7,022.14, dan bakinya akan diderma kepada aktivti gotong-royong yang akan berlangsung pada 21 Mei ini.

 

Tham Jing Ting mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang telah membimbing AJK Ang Pau Night 2016 dalam membantu masyarakat yang memerlukannya.