LABUAN - Saringan Sugandoi atau dikenali sebagai Pekit Belagu dan juga malam Gala Night telah diadakan di Dewan Utama Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 13 Mei lalu.

Majlis yang bermula jam 8 malam sehingga 10 malam itu menyaksikan kehadiran lebih 300 orang pelajar UMSKAL sendiri dan diserikan lagi dengan sokongan daripada kira-kira 50 warga Wilayah Persekutuan Labuan.

Program tersebut diadakan sebagai salah satu daripada aktiviti sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai UMSKAL 2016 yang dipengerusikan oleh Cherril Mitchell Henry, Pelajar Tahun 3 Fakulti Komputeran dan Informatik Labuan (FKI) manakala Dr. Carolyn Salimun, Pensyarah Fakulti Komputeran dan Informatik Labuan sebagai Penyelaras Program pada tahun ini.

“Keamanan dan Persahabatan” ataupun dalam bahasa Dusun disebut sebagai “Pibabasan Om Piombolutan” dan dalam bahasa Iban disebut sebagai “Pengelikun Menua Serta Kaul Antara Pangan” telah diangkat sebagai tema sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai UMSKAL pada tahun ini yang diadakan selama seminggu bermula 5 Mei hingga 14 Mei 2016.

Seramai 15 orang peserta telah berentap pada malam Gala Night tersebut yang terdiri daripada pelajar UMSKAL yang berasal daripada pelbagai latar belakang dan berasal daripada Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung Malaysia.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa program Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang dianjurkan oleh pihak UMSKAL adalah bagi meraikan keharmonian dalam perbezaan kaum, asal usul dan juga kepercayaan oleh para pelajarnya dan seterusnya menjadi wadah yang tepat bagi menyemai semangat 1 Malaysia dalam kalangan pelajar dan staf UMSKAL serta memberi contoh ikutan yang baik untuk diperlihatkan kepada penduduk tempatan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pada malam 13 Mei itu juga telah berlangsung Pertandingan Sugandoi dan Pekit Belagu yang menyaksikan seramai 4 orang finalis berentap bagi merangkul gelaran juara bagi Pertandingan Sugandoi dan Pekit Belagu.

Para finalis tersebut terdiri daripada penyertaan pelajar UMSKAL dan juga penduduk tempatan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu Nur Jannah Firdaus, Lawrence Charles, Steveandey Lee Shiang Yang dan juga Vincent Paul.

Cherril mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa Pelaksana Program Pesta Kaamatan dan Hari Gawai UMSKAL yang menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan jayanya pada tahun ini.

Beliau berharap dengan adanya pelaksanaan program dan aktiviti seperti ini, para pelajar khususnya kepada mereka yang baru sahaja melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan berpeluang untuk merasai dan turut sama menghayati dan merayakan sambutan yang menjadi perayaan wajib kepada masyarakat di Sabah dan juga Sarawak.

“Besarlah harapan kami agar sambutan seperti ini mampu menjadi titik tolak kepada penyatuan dan semangat kekitaan dalam kalangan pelajar UMSKAL itu sendiri serta masyarakat setempat di Wilayah Persekutuan Labuan, “katanya.