KOTA KINABALU – Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kesatuan Kakitangan Universiti Awam Malaysia (GAKUM) akan mengadakan konvensyen pada 8 hingga 11 Ogos 2016 di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Lebuh Enstek, Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

 

Program penting itu dibincangkan semasa Mesyuarat Khas GAKUM yang dihadiri oleh semua Presiden dan Setiausaha yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Pada awal mesyuarat, Presiden GAKUM, Ku Azmi Ku Ibrahim mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kesatuan Pegawai Am UPSI yang diterajui oleh Puan Nazeema Mohamed Yusof di atas pengurniaan Anugerah Kesatuan Sekerja Cemerlang (Sektor Awam) semasa sambutan Hari Pekerja tahun 2016.

Ku Azmi berkata pihak AKEPT telahpun memberikan persetujuan kepada Gakum untuk melaksanakan konvensyen tersebut selepas mengadakan pertemuan di Pejabat AKEPT, baru-baru ini.

Katanya, Pendaftar USIM telah dilantik sebagai Penasihat Konvensyen Gakum 2016.

“Gakum telah bersetuju melantik Bahaman Haron sebagai Pengarah Konvensyen Kepimpinan Perdana Gakum tahun 2016. Beberapa AJK juga dilantik untuk memastikan konvensyen tersebut berjalan lancar,”katanya.

Semua ahli mesyuarat juga telah bersetuju mengadakan mesyuarat Gakum akan datang di UiTM Dungun pada 23 hingga 24 Mei depan.

Kata Ku Azmi, pihak Gakum akan menjemput pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memberikan taklimat skim 252 yang telah diumumkan baru-baru ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Presiden Gakum I, Haji Zulkifli bin Mohamed dan Timbalan Presiden Gakum II, Amat Jutrah Haji Musnih.

Hadir sama Presiden-Presiden dan Setiausaha-Setiausaha dari Universiti Awam yang lain.

Sementara itu, Amat Jutrah yang juga Presiden Kesatuan Kakitangan Am, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengalu-alukan cadangan Gakum untuk meminta JPA memberikan taklimat mengenai Skim 252 agar semua pimpinan tertinggi kesatuan mengetahui dengan jelas, tepat dan terkini.

“Selepas taklimat daripada JPA itu, pemimpin kesatuan akan menyebarkan maklumat tersebut kepada ahli di peringkat kesatuan masing-masing,”katanya ditemui selepas menghadiri mesyuarat Gakum itu.