LABUAN – Kelab Kebajikan dan Rekreasi, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (Kakal) akan sentiasa menghargai sumbangan ahlinya bukan sahaja kepada kelab tetapi juga universiti.

Pengerusi Kakal, Saradli Arsat berkata peranan yang dimainkan ahlinya dalam memajukan kelab amat besar maknanya.

Malah, katanya, ahli yang bertanggungjawab akan terus melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi.

“Kakal sentiasa menghargai sumbangan dan peranan yang dimainkan ahlinya dalam memajukan kelab dan universiti,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Kakal di Palm Beach Resort, Batu Manikar, pada 16 Jun 2016.

Pada majlis itu, Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Pengerusi Kakal, Md Azri Ag Tanjong yang akan berpindah ke Kota Kinabalu pada bulan Julai ini.

Md Azri yang juga Ketua Penolong Jurutera, Sektor Pembangunan dan Penyelenggaraan telah menabur bakti kepada UMSKAL sejak 16 tahun lalu.

Dr Murnizam juga menyerahkan sumbangan kepada Md Quazly yang menerima rawatan di Hospital Labuan.

Dua lagi ahli Kakal yang menerima sumbangan iaitu Johari Sapar dan Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal tidak dapat hadir pada majlis itu.

Kira-kira 25 ahli Kakal hadir pada Majlis Berbuka Puasa itu.

Sejak ditubuhkan pada September 2015, Kakal kini mempunyai 31 ahli yang terdiri daripada kakitangan UMSKAL.