LABUAN – Hampir 200 pelajar Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menjayakan program Jom Sahur bersama warga Kolej Kediaman Alpha, Beta dan Mutiara di Kafetaria Pusat Kegiatan Pelajar, UMSKAL, baru-baru ini.

 

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS itu dihadiri Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Dr Haji Yusof Haji Yacob dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Ismail Ali.

 

Turut hadir Ketua Jabatan HEPA UMS, Azmi Jumat dan Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah yang mewakili Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik.

 

Hadir sama Ketua Sektor HEP UMSKAL, Nur Iman Reedzal dan Pengetua Kolej Kediaman UMSKAL, Nona Masneh Mohd Nistah.               

 

Majlis itu diimarahkan dengan Tazkirah Khas Sahur yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Najib Abd Rahim yang juga Ketua Imam Masjid Jamek An-Nur.

                      

Dr Yusof dan Dr Ismail turut mengadakan sesi ramah mesra pihak Pengurusan UMS bersama pelajar-pelajar UMSKAL.

 

Dr Ismail berharap pelajar tidak menjadikan masa puasa sebagai alasan untuk tidak belajar dengan sepenuhnya.

 

Katanya, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah mahu pelajar menumpukan tugas utama mereka terhadap pelajaran.

 

“Janganlah pelajar membabitkan diri dengan kegiatan yang boleh menjejaskan nama baik diri sendiri, keluarga dan UMS. Tumpukan kepada pelajaran untuk memperolehi keputusan yang cemerlang,”katanya.

 

Dr Ismail berkata program itu juga sebagai tanda kasih sayang pengurusan UMS terhadap kebajikan pelajar khususnya pada bulan Ramadan.

 

Sementara itu, Dr Yusof mahu pelajar meningkatkan taqwa pada bulan mulia ini termasuk membaca Al-Quran di samping solat Tarawih di Surau Al-Hikmah.

 

Beliau mendoakan pelajar lulus dengan cemerlang di dalam peperiksaan yang sedang dihadapi ketika ini.

 

Program yang julung kalinya dianjurkan itu bertujuan untuk merapatkan hubungan pengurusan UMS dengan pelajar UMSKAL.

 

Jom Sahur yang bermula pukul 12 tengah malam itu berakhir kira-kira pukul 3 pagi.