LABUAN – Seramai 100 peserta telah menjayakan Seminar Lindungi Harta Intelek Untuk Kekayaan Masa Hadapan di Dewan Kuliah Podium D, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), kelmarin (Jumaat – 29 Julai).

 

Seminar yang diadakan dari pukul 8 pagi hingga 5 petang itu dianjurkan Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI) UMS dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

 

Peserta seminar itu terdiri daripada pensyarah UMS, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Labuan, kakitangan jabatan dan agensi kerajaan, dan pelajar sekolah.

 

Timbalan Pengarah (Inovasi) PPI UMS, Dr Azizi Haji Adis yang mewakili Pengarahnya, Prof Madya Dr Lee Ping Chin menyempurnakan majlis perasmian.

 

Pada seminar itu, empat kertas kerja berkaitan harta intelek dibentangkan oleh Ketua Seksyen Pemeriksaan Paten (Sains Gunaan, MyIPO Kuala Lumpur, Kamal Kormin yang membentangkan tajuk Harta Intelek Penjana Kekayaan Baru manakala Ketua Seksyen Teknologi, Abdul Rahman Ramli menyampaikan kertas kerja Sistem dan Pendaftaran Paten di Malaysia.

 

Dua lagi kertas kerja dibentangkan Penolong Pengawai Pendaftaran dan Pentadbiran Cawangan Sabah, Jasius Gaisah (Penjenamaan Dalam Keusahawanan) dan Pegawai Pendaftaran dan Pentadbiran Seksyen Hak Cipta, Mawar Hartini Md Mazlan (Pertahankan Hak Melalui Hak Cipta).

 

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Pengarah MyIPO Cawangan Sabah, Law Sha Gek dan Timbalan Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Dr Mohd Rizal  Abd Hamid. 

 

Menurut Dr Azizi, seminar yang pertama kali diadakan di Wilayah Persekutuan Labuan itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya mereka yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

 

Beliau berharap menerusi seminar sehari itu, peserta akan menyedari dan mengetahui hak-hak mereka mengenai harta intelek dan hak cipta.

 

Katanya, UMS mahu menjadi hab kepada pelbagai bidang termasuk aduan dan maklumat kepada orang ramai khususnya di Sabah dan Labuan.

 

Sehubungan dengan itu, kata Dr Azizi, UMS akan terus bekerjasama dengan MyIPO untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada orang ramai dan komuniti mengenai harta intelek.

 

“Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI) UMS akan berganding bahu dengan MyIPO memberi pengetahuan dan kesedaran kepada komuniti termasuk pelajar mengenai harta intelek dan hak cipta. Itulah sumbangan UMS kepada masyarakat setempat di seluruh Sabah dan Labuan, “katanya.

 

Dr Azizi berkata program seumpama itu akan turut diadakan di sekolah menengah yang mempunyai kemahiran dan inovasi yang tinggi dengan kepakaran MyIPO sekaligus memberi penekanan kepada orang ramai berkaitan harta intelek dan inovasi.

 

Sementara itu, Paten adalah suatu pemberian (grant) hak eksklusif oleh kerajaan kepada perekacipta ke atas reka cipta di Malaysia untuk tempoh 20 tahun dari tarikh permohonan Paten.

 

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memberikan perkhidmatan berkaitan pendaftaran cap dagangan, paten, reka bentuk perindustrian, hak cipta dan petunjuk geografi, khidmat nasihat berkaitan harta intelek dan maklumat dan statistik mengenai harta intelek.

 

Selain itu, program latihan, peperiksaan ejen paten, kempen kesedaran harta intelek, perkhidmatan dalam talian dan helpdesk.