Labuan – Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaysia Sabah (Kekaumas) akan terus memberikan perkhidmatan dan berbakti kepada ahlinya di Universiti Malaysia Sabah.

Presidennya, Amat Jutrah Haji Musnih berkata sejak penubuhannya pada 5 Ogos 1998, Kekaumas telah memainkan peranan utamanya menjaga kebajikan dan hak-hak ahli di UMS Kampus Induk, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan Kampus Sandakan.

Beliau yang kekal menerajui kesatuan itu sejak 18 tahun lalu berbangga kerana Kekaumas mendapat kepercayaan dan kerjsama serta sokongan padu daripada pihak pengurusan UMS sejak 1998.

“Kekaumas ditubuhkan selepas didesak Naib Canselor UMS yang pertama iaitu Prof Tan Sri Dr Abu Hassan Othman pada 5 Ogos 1998. Alhamdulillah selepas 18 tahun, Kekaumas terus bertapak kukuh dan mantap hasil komitmen ahli dan sokongan padu pengurusan UMS, “katanya.

Menurut Amat Jutrah, pada ketika itu, Kekaumas hanya mempunyai keahlian seramai 72 orang dan mengadakan mesyuarat pertamanya di Dewan Seri Sabah, Bangunan Telekom di Telipok.

Katanya, usia Kekaumas bersamaan 4 orang Naib Canselor UMS iaitu Prof Tan Sri Dr Abu Hassan Othman, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, Prof Datuk Seri Panglima Dr Kamaruzaman Ampon dan sekarang di bawah pentadbiran Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah.

Beliau berkata sejak 1998 lalu, Kekaumas telah mendapat kerjasama padu daripada tiga orang Pendaftar UMS iaitu Mohd Hela Ladin, Datuk Abdullah Mohd Said dan sekarang No’man Datuk Haji Ahmad.

“Walaupun Naib Canselor dan Pendaftar telah bertukar ganti, namun Presidennya masih sama seperti 18 tahun lalu. Saya ucapkan terima kasih atas sokongan semua ahli yang masih menaruh keyakinan kepada saya untuk menerajui dan memimpin Kekaumas,”katanya.

Kekaumas telah bergabung dengan Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Awam Malaysia (GAKUM) yang kini diterajui Ku Azmi Ku Ibrahim.

Kata Amat Jutrah, antara kejayaan terbesar Kekaumas adalah tuntutan elaun pemandu kenderaan berat, bayaran gigi daripada RM100 kepada RM300, jawatan kontrak dan sambilan, nama Jalan UMS dan dana peruntukan UMS.

Katanya, pihak pengurusan UMS juga telah meluluskan permohonan pakaian seragam yang dipohon Kekaumas dan mendapat peruntukan menghadiri mesyuarat Gakum pada setiap tahun.

“Ramai ahli Kekaumas yang telah mendapat jawatan tetap dan mendapat kontrak pusat hasil usaha gigih kesatuan sejak ia ditubuhkan pada 1998. Kekaumas akan meneruskan perjuangan membela nasib ahlinya yang juga kakitangan UMS, “katanya.

Tambahnya, bagi memantapkan kesatuan dan ahlinya, Kekaumas telah mengadakan lawatan sambil belajar dalam dan luar negara khususnya yang membabitkan rakan universiti tempatan dan luar negara.

Justeru itu, Amat Jutrah berhadap Kekaumas akan terus maju dengan cemerlang di UMS, IPTA dan seluruh negara Asian.

Beliau tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan universiti yang diketuai Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah dan Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad, pegawai-pegawai kanan dan semua kakitangan UMS yang memberikan kepercayaan kepada Kekaumas selama ini.