LABUAN- Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Awam Malaysia (Gakum) memerlukan kerjasama yang padu daripada pengurusan Universiti Awam (UA) untuk membolehkan kakitangannya mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Presidennya Gakum, Ku Azmi Ku Ibrahim berkata kemantapan kesatuan kakitangan am di UA membolehkan kakitangannya mendapat insentif termasuk dari segi perjawatan, kebajikan dan hak-hak sebagai penjawat awam di negara ini.

Beliau melahirkan penghargaan dan terima kasih GAKUM kepada Pengarah AKEPT yang sudi bekerjasama menjalankan program ini kepada kumpulan pelaksana Universiti Awam bagi berkongsi ilmu.

Sesungguhnya hari ini, kata Ku Azmi semua peserta rasa bertuah kerana telah diberi peluang menikmati kemudahan di AKEPT yang berprestij dan bertaraf JUSA disediakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi. Ini merupakan kumpulan pelaksana pertama yang mendapat peluang menikmatinya.

“Peluang ini tidak sepatutnya dilepaskan oleh kumpulan pelaksana dan ruang ini adalah langkah yang terbaik untuk perkongsian sumber, jika dilihat di peringkat kebangsaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam yang menjadi platfom Majlis Bersama Kebangsaan yang diwakili pekerja kumpulan pelaksana berkongsi kemudahan di INTAN Bukit Kiara yang merupakan pusat latihan peringkat JUSA,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Majlis Penutupan Konvensyen Kepimpinan Perdana buat kali ketiga di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (Akept), Nilai, Negeri Sembilan.

Ku Azmi berkata kumpulan pelaksana di semua universiti awam adalah berjumlah 44,591 orang, akademik 31,937 orang dan pentadbir lebih kurang 10,000 orang.

Pada majlis itu, Ku Azmi mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana kumpulan pelaksana seramai 60,000 telah menikmati gaji permulaan terendah pada bulan Julai yang lalu.

Seramai 406,000 pejawat awam telah menikmati rasionalisasi skim perkhidmatan yang telah diumumkan oleh Kerajaan Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM1.4 billion.

Sebagai warga Universiti yang akan menambah ilmu selama 4 hari di tempat yang berprestij ini dengan pembentang terdiri tokoh yang ternama dan penuh pengalaman, maka jangan sia-siakan peluang keemasan ini.

Pada Konvensyen ini peserta kumpulan pengurusan dan professional yang turut serta bersama kita terima kasih diucapkan. Di Universiti terdapat 4 kumpulan iaitu Akademik, Pentadbir, Pelaksana dan pelajar. Sebagai satu pasukan demi pendidikan tinggi Soaring Upwards semangat bersama amat dituntut oleh Pengurusan Universiti.

Konvensyen ini adalah medan kumpulan pelaksana. Pada kali ini ruang turut diberikan kepada Kumpulan Pelaksana yang mempunyai Ijazah dan Sarjana untuk membentangkan kertas kerja bagi ilmu yang mereka ada. Tiada banyak ruang dan medan yang disediakan selain terlibat dalam membantu penyelidikan para akademik.

Sesungguhnya pada malam ini kita berasa cukup bertuah kerana Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kerjasama GAKUM telah berjaya menghasilkan sebuah buku bertajuk Suara Perjuangan untuk diabadikan atas usaha perjuangan Datuk Omar Osman mantan Presiden CUEPACS.

“Perjuangannya dalam menjaga kebajikan pejawat awam seluruh negara telah memberi manfaat sebanyak 33 pekeliling, dan pelbagai kemudahan telah diluluskan oleh Kerajaan Malaysia. Paling bertuah kerana semua Pegawai Pengurusan dan Profesional adalah lulusan Universiti Awam lagi memudahkan kita mendapat bantuan dalam apa sahaja dan di mana-mana kementerian, jabatan dan pusat di bawah kerajaan dan Badan Berkanun,”kata Ku Azmi penuh ceria.    

Dalam ucapannya itu, Ku Azmi mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Pengarah dan semua staf AKEPT, barisan pemimpin GAKUM dan AJK Pelaksana Konvensyen Kepimpinan Perdana yang telah menjayakan Konvensyen ini.

“Tahniah kepada UMS kerana paling ramai menghantar peserta termasuk dari Kampus Antarabangsa Labuan dan Pendaftar UMS turut serta mengambil bahagian sebagai panel forum,”katanya.

Juga ucapan tahniah atas program Fit And Cool yang telah dilancarkan oleh Idris Jusoh yang permulaannya di Kementerian Pendidikan Tinggi. Dan moga-moga program ini akan menjadi ikutan di semua Universiti awam.

Seramai 135 peserta telah menyertai Konvensyen Kepimpinan Perdana buat kali ketiga di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (Akept), Nilai, Negeri Sembilan pada 8 hingga 11 Ogos.

Mereka terdiri daripada pegawai dan kakitangan sokongan daripada 20 UA di seluruh negara termasuk 11 kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang merupakan peserta yang paling ramai menyertai konvensyen pada tahun ini.

Majlis perasmian konvensyen empat hari itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal yang mewakili Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Manakala Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menyempurnakan majlis penutupan di Dewan Utama Akept.

Pada majlis itu, Idris turut melancarkan buku Suara Perjuangan yang memaparkan perjuangan mantan Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman yang juga mantan Presiden Gakum.

Semua pemimpin kanan Gakum dan peserta seminar tersenyum gembira selepas Idris Jusoh mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk mengisi Tabung GAKUM bagi mengadakan lagi ilmu untuk Soaring Upwards demi kecemerlangan Pendidikan Tinggi Negara.

Turut hadir pada majlis penutupan itu ialah Pengarah Akept, Prof Dr Mohamad Kamal Haji Harun, Timbalan Pengarah Akept, Prof Madya Dr Zafir Khan Mohamad Makhbul, Timbalan Presiden Gakum I, Haji Zulkifli Mohamad dan Timbalan Presiden Gakum II, Amat Jutrah Haji Musneh.

Konvensyen tersebut dianjurkan Gakum dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Akept, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim Perak dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Zabidi turut menyampaikan ucaptama bertajuk Cabaran Perkhidmatan Awam Menjelang 2020 pada konvensyen yang bertemakan Moving Forward For Excellent.

Ucaptama kedua ‘Kesejahteraan Psikologi Untuk Kecemerlangan’ disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Bahagian Pengurusan Pengurusan Psikologi JPA, Dr Azura Hamdan yang mewakili Pengarahnya, Dato’ Dr Abdul HalimMohd Husin.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Dato’ Prof Dr Asma Ismail menyampaikan ucaptama ketiga bertajuk ‘Autonomi dan Pakej Keselamatan Pekerja’.

Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad dan Presiden Kesatuan Pegawai Am UPSI, Nazeema Mohamad Yusof menjadi ahli panel forum yang bertajuk “Transformasi Penyampaian dan Kecekapan“.

Pengarah Akept, Prof Dr Mohamad Kamal Haji Harun, menyampaikan ucaptama ketiga bertajuk ‘Amalan Keserakanan Terbaik Dalam Pentadbiran Universiti’ manakala Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali menyampaikan ucaptama keempat ‘Pendidikan Fleksibel Transformasi Pentadbiran Universiti Awam’.

Turut disampaikan ucaptama kelima yang bertajuk ‘Budaya Kerja Institusi Ilmu Universiti Swasta’. Yang dibentangkan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pendaftaran dan Piawaian, Kementerian Pendidikan Tinggi, Mohana Sundari Selvaraj.

Empat kertas kerja turut dibentangkan oleh wakil UA yang masing-masing bertajuk Pelan Penggantian, Penggunaan Teknologi Pentadbiran, Menguruskan Jurang Dalam Pekerjaan dan Hubungan Majikan Pekerja.

Lembaga Penasihat Akept, Prof Tan Sri Dato’ Zulkifli Abdul Razak menyampaikan ucaptama terakhir yang bertajuk ‘Inovasi Hari Ini Untuk Hari Esok’.

Ku Azmi selaku Pengarah Konvensyen Perdana 2016 membentangkan rumusan sambil berharap semua pemimpin kesatuan di UA akan terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan untuk manfaat kakitangan dan ahli kesatuan khususnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gakum II merangkap Presiden Kesatuan Kakitangan Am UMS (Kekaumas), Amat Jutrah Haji Musnih, mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang mewakili universiti masing-masing kerana mengambil bahagian secara aktif sepanjang sesi pembentangan ucaptama dan kertas kerja di seminar tersebut.

Beliau juga melahirkan rasa bangga kerana  Pendaftar Universiti Malaysia Sabah (UMS), No’man Datuk Haji Ahmad telah diberikan kepercayaan untuk bersama dalam sesi forum di konvensyen empat hari itu.

Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Universiti Awam amat gembira kerana Pendaftar UMS telah dapat berkongsi ilmu dengan peserta Konvensyen Gakum khususnya yang berkaitan dengan kebajikan, perjawatan dan peranan kesatuan di universiti awam.