LABUAN – Seramai 420 peserta menyertai ‘Kursus Penyelidikan Kuantitatif dan Analisis Data Menggunakan Statistical Package for the Social Sciences (SPSS)’ di Dewan Kuliah 1, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 23 September 2016.

 

Kursus itu dilaksanakan oleh Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Madya Dr. Norazah Mohd Suki, Profesor Madya Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) UMSKAL.  Beliau merupakan penulis buku bertajuk ‘Analysing Data using SPSS: A Step-By-Step Approach” dan penerima Anugerah Tokoh Penyelidik (Kategori Sains Sosial) UMS bagi Tahun 2015.

 

Peserta kursus itu terdiri daripada pelajar prasiswazah FKAL Tahun 2 dan Tahun 3. Turut hadir dalam kursus itu adalah pelajar pascasiswazah FKAL.

 

Kursus itu bertujuan memberi pencerahan secara praktikal untuk analisis data kuantitatif menggunakan Perisian SPSS.  Cara penyelidikan dan analisis data, beserta teknik pensampelan yang bersesuaian dengan objektif kajian dapat memberikan hasil penyelidikan yang bernilai dan berimpak tinggi kepada syarikat.  Hasil kajian empirikal dapat membantu strategi syarikat dalam pengeluaran produk dan perkhidmatan baru yang berkualiti tinggi untuk memenuhi kehendak pelanggan dan pengguna perkhidmatan.

 

Menurut Profesor Madya Dr. Norazah, melalui kursus itu, peserta mempelajari perkara berikut: Pengekodan data menggunakan SPSS; Menubuhkan dan memasuki data ke dalam SPSS; Analisa statistik deskriptif seperti kekerapan, sukatan kecenderungan memusat dan menggambarkan data menggunakan graf; Penjadualan bersilang dan chi-square statistic; Analisis korelasi: memeriksa hubungan antara interval data; Analisis regresi berganda; dan Menginterpretasikan keputusan data.

 

Beliau berharap menerusi kursus itu, peserta dapat mengaplikasikan cara efektif menjalankan penyelidikan di samping teknik-teknik analisis data kuantitatif yang relevan menggunakan Perisian SPSS sebagai persediaan asas ke alam pekerjaan sebenar yang sangat kompetitif.

 

Menurut Perutusan Naib Canselor UMS Profesor Datuk. Dr. Mohd Harun Abdullah, “UMS telah menetapkan standard kualiti ilmiah yang tinggi agar terus relevan dan berdaya saing seiring dengan perkembangan arus permodenan global dan modal insan berminda kelas pertama yang mampu menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang”.