LABUAN – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi emosi, intelek dan kemahiran serta komunikasi.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata KPT bukan sahaja mahu melihat mahasiswa yang cemerlang dalam akademik tetapi juga cemerlang dalam bidang yang lain secara menyeluruh.

Katanya, KPT yang diterajui Datuk Seri Idris Jusoh mahu mahasiswa yang berilmu, terdidik dan berkemahiran dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan.

“Kementerian Pendidikan Tinggi mahu melahirkan mahasiswa yang mempunyai kecerdasan emosi, bersopan santun dan akhlak yang berfikiran positif.

“Mereka juga harus sentiasa bersyukur dengan ruang dan peluang yang diberikan ketika menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT),”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di Dewan Kuliah Pusat 1 (DKP), malam kelmarin.

Pada majlis itu, beliau turut mengadakan sesi dialog bersama kira-kira 500 pelajar yang menghadiri program tersebut.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UMS, Prof Madya Dr Ismail Ali dan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik.

Hadir sama Timbalan Pengarah, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Prof Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim, dan Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah.

Beliau yang julung-julung kalinya melawat UMSKAL turut mengadakan perjumpaan dengan kakitangan akademik dan kakitangan pentadbiran di Bilik Kuliah D, Bangunan Menara pada petang Jumaat lalu.

Mary Yap yakin usaha kerajaan yang sentiasa prihatin dengan keperluan mahasiswa akan tercapai dalam pelbagai bidang termasuk bidang keusahawanan yang mahu mahasiswa berdikari mendapatkan dana untuk menjayakan program kemahasiswaan dan kemasyarakatan.

“Kita juga mahu melahirkan mahasiswa yang kebolehpasaran sekaligus bersaing secara sihat dengan graduan dari 20 Universiti Awam di seluruh negara,”katanya.

Selain itu, Mary Yap mahu mahasiswa mengaplikasi apa yang dipelajari dan diperolehi melalui pembelajaran dan pengajaran di bilik kuliah serta pengalaman menuntut di menara gading ketika berhadapan dengan masyarakat dan dunia pekerjaan kelak.

Kata Mary Yap, pada zaman yang serba mencabar ini, mahasiswa seharusnya tidak ketinggalan dalam menguasai pelbagai bahasa antarabangsa khususnya Bahasa Inggeris tanpa meminggirkan Bahasa Malaysia.

“Mereka harus bijak berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan professional selain masyarakat setempat,”katanya.

Mary Yap juga menasihatkan mahasiswa agar tidak melupakan jasa dan pengorbanan ibu bapa serta kerajaan yang banyak menyediakan peluang untuk mereka belajar hingga ke peringkat kedoktoran (PHD).

Katanya, kerajaan menyediakan banyak kemudahan kepada mahasiswa dalam menimba ilmu termasuk pemberian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang membantu meringankan beban kewangan ibu bapa.

Beliau juga meminta mahasiswa mengubah paradigma negatif kepada paradigma positif ketika berhadapan dengan pelbagai situasi termasuk ketika negara berhadapan dengan masalah ekonomi yang turut dihadapi negara lain.

“Kementerian Pendidikan Tinngi akan terus berusaha gigih meningkatkan sistem pendidikan tinggi bagi melahirkan mahasiswa yang berkerampilan dan berwibawa,”katanya.