Labuan – Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sentiasa menggalakkan pelajar menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.

Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik berkata pelbagai usaha telah dilakukan oleh pengurusan universiti termasuk mengadakan program keusahawanan yang banyak memberi manfaat kepada pelajar yang bukan sahaja mempelajarinya secara  teori di bilik kuliah malah mampu mempraktikkannya di dunia perniagaan yang sebenarnya.

“Peserta Ekspo APK pada tahun ini sangat beruntung kerana berpeluang menjalankan perniagaan secara realiti dengan masyarakat dan pelanggan yang lebih ramai berbanding tahun-tahun sebelumnya, “katanya.

Beliau ditemui selepas mengiringi Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching melancarkan Ekspo Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) 2016 UMSKAL di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan di Tanjung Purun, baru-baru ini.

Sebanyak 40 gerai yang menjual pelbagai juadah seperti nasi madu, nasi ayam, sanggarak tallemek (pisang keluaran dari Tawau), bugger bakar dan mee kari yang dimasak sendiri oleh pelajar di samping modal yang dikumpul melalui sumbangan pelajar yang menjalankan perniagaan tersebut pada 30-1 Mei.

Dr Murnizam tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching yang sudi melancarkan Ekspo APK 2016.

“Kami juga berbesar hati Datuk Mary Yap melawat gerai jualan sambil menikmati juadah yang disediakan sendiri oleh pelajar Tahun Dua UMSKAL yang ternyata gembira dengan kejayaan program tersebut,” “katanya.

Tambah Dr Murnizam, bermula tahun ini program Ekspo APK akan dilaksanakan di luar kampus dengan kerjasama Perbadanan Labuan bagi menarik lebih ramai pelanggan selain menyampaikan maklumat kepada orang ramai program yang ditawarkan di UMSKAL.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Perbadanan Labuan dan Jabatan kesihatan yang sudi bekerjasama dengan UMSKAL dalam menjayakan Ekspo APK 2016,”katanya.

Turut hadir Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Nur Iman Reedzal, Penyelaras program, Shamsulbahri Mohd Nasir dan Chua Chee Kiat serta Pengarah Program, Nurul Izzaliana Teo.

Ekspo Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) 2016 kali pertama diadakan di luar UMSKAL anjuran pelajar Tahun Dua yang mengambil subjek APK, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB).

Sementara itu, Pengarah Program, Nurul Izzaliana Teo berkata pelbagai cabaran dihadapi sepanjang ekspo dijalankan namun pelajar berjaya menghadapi dan menanganinya.

Antara cabaran tersebut kata Izza ialah mereka terpaksa berhadapan dengan persaingan daripada peniaga yang lain yang turut berniaga sempena sempena LISC 2016.

“Kami banyak belajar cara berkomunikasi bukan sahaja dengan pelanggan tetapi juga pihak yang berwajib seperti Perbadanan Labuan dan Jabatan Kesihatan,”katanya.

Beliau yang juga pelajar Tahun Dua Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan UMSKAL, pihak penaja khususnya gas petronas dan syarikat Serba Mahir Sdn Bhd yang banyak membantu melancarkan ekspo berkenaan.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Labuan atas kepercayaan yang diberikan kepada pelajar UMSKAL untuk menjalankan program tersebut sempena Labuan International Sea Challenge (LISC) pada 29-1 Mei lalu. Pada tahun ini kami sangat bertuah kerana juadah makanan dan minuman laris dibeli oleh pelanggan termasuk peserta LISC dari dalam dan luar negara,”katanya penuh ceria.

Tidak ketinggalan Izza mengucapkan terima kasih kepada warga Wilayah Persekutuan Labuan yang memberikan sokongan kepada pelajar UMSKAL.

Izza yakin menerusi program itu akan memberi banyak pengetahuan dan pengalaman yang berguna kepada pelajar khususnya berkaitan keusahawanan dan dunia perniagaan.

Seorang pelajar yang menjalankan perniagaan, Mohd Faridzuan Yusof berkata antara cabaran yang dihadapi semasa menganjurkan program itu ialah modal yang terhad untuk memenuhi permintaan yang tinggi daripada pelanggan.

Namun beliau gembira kerana mereka berjaya memperolehi pendapatan kira-kira RM1,500 sehari hasil kerja keras dan komitmen semua ahli yang menjalankan Ekspo APK pada kali ini. 

“Kami tidak menang tangan melayan permintaan yang tinggi daripada pelanggan termasuk peserta yang menyertai LISC 2016,”katanya.

Penyelaras program, Shamsulbahri Mohd Nasir dan Chua Chee Kiat pula mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan komitmen menjayakan Ekspo APK 2016.

Shamsulbahri berkata buat pertama kalinya Ahli Jawatankuasa (AJK) membawa keluar idea-idea perniagaan kepada dunia perniagaan yang sebenar.

“Pelajar telah merasai sendiri bagaimana menjadi seorang usahawan dan berdepan dengan cabaran sebenar dalam dunia perniagaan,”katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pelajar yang menjayakan Ekspo APK 2016.

Jelas pelajar Tahun Dua FKAL, Anati Aqilah Hussain, menerusi APK itu, mereka dapat mempelajari selok-belok pengurusan perniagaan seperti mendaftarkan lesen peniagaan dan sijil kesihatan daripada Perbadanan Labuan serta pemeriksaan kesihatan yang diwajibkan oleh Jabatan Kesihatan.

“Terima kasih kepada Perbadanan Labuan yang menyediakan tapak perniagaan di Kompleks Sukan laut Antarabangsa Labuan di Tanjung Purun,”katanya penuh bangga.

Sementara itu, Datuk Mary Yap menyokong usaha yang dijalankan oleh pelajar UMSKAL menerusi program Ekspo APK yang memberi banyak manfaat kepada mereka.

Beliau akan menyampaikan kejayaan pelajar menganjurkan Ekspo APK 2016 kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang turut menyokong penglibatan mahasiswa dalam dunia perniagaan dan keusahawanan.

Kunjungan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli pada hari pertama ekspo tersebut diadakan turut menggembirakan AJK Pelaksana dan peniaga Ekspo APK 2016 sekaligus menaikkan semangat mereka untuk meneruskan program tersebut pada tahun hadapan.