LABUAN - Sekretariat Pencegahan Rasuah Universiti Malaysia Labuan Kampus Antarabangsa Labuan (SPRUMSKAL) telah mengadakan program lawatan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Labuan di Tingkat 4, Kompleks Ujana Kewangan Labuan.

Lawatan yang diadakan pada 28 Mei lalu itu bertujuan untuk mengetahui akta-akta dalam SPRM, proses mengendali aduan orang ramai dan mengenali struktur pentadbiran SPRM Labuan.

Kunjungan yang diadakan dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari itu diketuai oleh Pengarah Program, Ainal Sapri Abd Rahim bersama 30 ahli SPRUMSKAL.

Rombongan UMSKAL itu diberikan taklimat mengenai SPRM oleh Penolong Penguasa PPs Schwartz Nasution dan Fadzil Othman.

Ainal Sapri yang juga Ketua Cawangan SPR UMSKAL mengucapkan terima kasih kepada pegawai SPRM yang memberikan kerjasama sepanjang program itu diadakan.

Beliau berharap lebih banyak program dan aktiviti akan diadakan dengan kerjasama SPRM Labuan untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan mengenai jabatan kerajaan tersebut bukan sahaja kepada ahli tetapi juga mahasiswa UMSKAL.

Ainal Sapri mengucapkan terima kasih kepada pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang banyak memberikan bimbingan dan nasihat kepada organisasi tersebut.