LABUAN – Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik, Prof Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim muncul johan program Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Biggest Loser Siri 2/2016.

Dengan kejayaan itu, beliau membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM600.

Naib johan disandang Pensyarah FKI, Jonathan Likoh yang meraih RM400.

Manakala Ketua Sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Ismet Zulfikar Ahmad Shafee dan Penolong Pegawai Tadbir Sektor Pentadbiran, Che Din Md Salleh masing-masing menerima RM150 selepas berkongsi tempat ketiga bersama.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal di Bilik Kuliah Podium D, Bangunan Menara pada 30 Jun 2016.

Turut hadir Ketua Sektor Sukan dan Rekreasi Kanan, Gabriel Moinjil.

Pertandingan itu diadakan untuk memastikan semua kakitangan UMSKAL menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah berjalan kaki 10,000 langkah.

Seramai 16 peserta yang terdiri daripada kakitangan UMSKAL menyertai pertandingan itu yang akan diteruskan pada bulan hadapan.

Kakitangan yang berminat boleh mendaftar di Sektor Sukan dan Rekreasi dengan menyertakan yuran sebanyak RM100.