LABUAN – Rendang ayam adalah antara makanan dan masakan yang diterima kakitangan Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sempena program Berusah Sungkai Ramadan 2016 pada 29 Jun 2016.

 

Sebanyak 300 bungkusan yang mengandungi bubur kacang, kari daging lembu, kari daging kambing, kelupis, nasi impit, dan kurma diberikan kepada kakitangan universiti tersebut.

 

Majlis penyampaian bungkusan makanan itu disempurnakan oleh Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik di ruang legar Bangunan Menara universiti.

 

Turut menyerahkan makanan untuk berbuka itu ialah Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah.

 

Terdahulu sejak dari pukul 8 pagi, sekumpulan kakitangan yang dikendalikan Sektor Hal Ehwal Islam dan Masjid (SHEIM) mengadakan gotong-royong memasak dan menyediakan makanan tersebut di Surau Al-Hikmah.

 

Penyelaras program, Ustaz Mohd Khairul Isham Abdul Latif mengucapkan terima kasih kepada kakitangan yang bertungkus-lumus memasak dan menyediakan keperluan sekaligus menjayakan Program Berusah Sungkai Ramadan pada tahun ini.

 

Beliau yang juga Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam berkata program itu yang julung kalinya diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan staf UMSKAL.

 

“Menerusi program itu, hubungan baik yang sedia terjalin antara kakitangan UMSKAL akan terus kekal abadi,”katanya.