LABUAN – Seramai sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Kinarut Papar telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 13 Julai 2016.

Mereka yang terdiri daripada tujuh pelajar perempuan dan dua lelaki dari Tingkatan Empat dan Lima itu merupakan pelajar cemerlang dalam peperiksaan PT3 tahun sebelumnya.

Rombongan sekolah agama itu diketuai Guru Bimbingan dan Kaunseling, Azian Abd Samad bersama guru pengiring, Solehah Md Noh.

Menurut Azian, lawatan anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar cemerlang tersebut.

Selain itu, katanya, lawatan sambil belajar itu juga mahu meninjau peluang melanjutkan pelajaran ke menara gading khususnya di UMSKAL.

“Kami ingin melihat secara khusus program yang ditawarkan di UMSKAL supaya pelajar kami dapat meneroka lebih banyak peluang di peringkat lebih tinggi, “katanya.

Taklimat mengenai pentadbiran UMSKAL disampaikan oleh Penolong Pendaftar, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Noraini Samsu yang mewakili Timbalan Pendaftar Kanan, Zamri Mohamad Tuah di Bilik Mesyuarat Eksekutif Aras 13.

Noraini turut menyentuh mengenai program yang ditawarkan di FKAL dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Pelajar tersebut turut melawat ruang cerapan anak bulan di Tingkat 13, Bangunan Menara UMSKAL serta menikmati pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan.

Selain UMSKAL, rombongan sekolah agama itu turut melawat Kolej Matrikulasi Labuan (KML) dan beberapa tempat bersejarah dan menarik di pulau bebas cukai ini.

Azian yang mewakili Pengetua SMK Agama Tun Datu Mustapha, Haji Saifulzaman Sangul berharap lawatan sambil belajar itu akan memberi lebih pengetahuan dan pengalaman kepada pelajar terbabit untuk meneruskan kecemerlangan dalam peperiksaan SPM tahun ini.