LABUAN – Seramai 24 peserta jayakan Kursus Kejurulatihan Ping Pong International Table Tennis - Federation Paralimpik (ITTF-PTT) Level 1 2016 di Dewan Utama Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 18-22 Julai lalu.

 

Sabah dan Sarawak masing-masing menghantar tujuh peserta, Nigeria (1) dan Russia (1) serta tuan rumah Labuan disertai 8 peserta termasuk dari UMSKAL.

 

Kursus lima hari itu dikendalikan penceramah, Christina Chee Shin Lian yang mempunyai pengalaman sejak 1990 dan jurulatih sejak 1982.

 

Beliau yang merupakan konduktor kursus sukan itu di peringkat ITTF membabitkan diri secara aktif di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

 

Christina, 58 yang berasal dari Kuala Lumpur mahu penganjuran kursus seperti itu adalah untuk membangun dan meningkatkan taraf sukan ping pong bukan sahaja berdaya saing di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat antarabangsa.

 

Katanya, jurulatih di peringkat sekolah, universiti, daerah dan negeri memberi tumpuan untuk melahirkan lebih ramai pemain ping pong dari peringkat akar umbi.

 

“Semua peserta perlu menekankan teknik dan taktik yang betul untuk membantu pelajar sekolah bergiat lebih aktif dalam sukan ping pong, “katanya yang juga bekas guru di SMK Cochurane, Kuala Lumpur.

 

Mengenai peserta kursus itu, Christina berkata mereka menerimanya dengan baik untuk membangunkan sukan ping pong di peringkat akar umbi.

 

Oleh itu, beliau mahu semua pihak termasuk jurulatih di peringkat kelab, daerah, negeri dan kebangsaan dapat memperbaiki teknik dari segi teori dan praktikal agar hasrat melahirkan pemain bertaraf dunia akan terhasil pada masa akan datang.

 

Beliau juga mahu jurulatih menanam sikap sukakan sukan ping pong dan membina sahsiah yang terbaik menerusi sukan tersebut.

 

“Jurulatih kena meningkatkan kemahiran sendiri untuk melahirkan pemain berkualiti dan membekalkan pemain tersebut untuk mewakili sekolah, kelab, daerah, negeri dan kebangsaan,”katanya.

 

Menurut Presiden Persatuan Ping Pong Amatur Wilayah Persekutuan Labuan, Shaw Kui Heng berkata kursus itu yang pertama kali dianjurkan di Labuan turut diadakan di Negeri Sembilan pada April lalu.

 

Beliau yang juga guru di SM St Anne Labuan berkata kursus tersebut dianjurkan bersama Persatuan Ping Ping Amatur Labuan dan UMSKAL serta mendapat kerjasama padu daripada Persatuan Ping Pong Malaysia dan ITTF – PTT.

 

Shaw berharap semua peserta khususnya dari Sabah, Sarawak dan Labuan akan menggunakan pengetahuan dan pengalaman selama lima itu untuk melatih lebih ramai pemain muda untuk mewakili negeri dan negara pada masa akan datang.

 

“Itu matlamat kita untuk melatih lebih ramai pemain muda sejak di bangku sekolah rendah lagi untuk mewakili negeri dan negara,”katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan, Zaini Abd Aziz yang menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan penganjuran kursus kejurulatihan semua jenis sukan di Wilayah Persekutuan Labuan.

 

Katanya, kursus tersebut amat baik untuk pembangunan sukan khususnya sukan ping pong di wilayah ini.

 

“JBS Labuan mengalu-alukan program untuk membantu atlet, jurulatih dan pengadil di Wilayah Persekutuan Labuan,”katanya sambil berkata jurulatih yang hebat akan melahirkan pemain yang hebat.