LABUAN – Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) akan menerima kira-kira 738 pelajar baharu bagi Sesi Pengambilan Akademik 2016/2017.

Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik (gambar) berkata daripada jumlah itu, 618 adalah pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) manakala Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) akan menerima 120 pelajar.

Katanya, bermula Ahad ini, Ahli Jawatankuasa Minggu Suai Mesra (MSM) bersama Pembimbing Suai Mesra (PSM) akan menyambut ketibaan pelajar baharu di Lapangan Terbang Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan serta terminal feri kenderaan.

“Mereka akan menaiki bas menuju ke kampus universiti untuk pendaftaran di Kolej Kediaman, Pusat Kemajuan Pelajar dan Dewan Utama,”katanya.

 

Selain Dr Murnizam, ketibaan pelajar baharu itu akan disambut Timbalan Pengarah, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, Dekan FKAL, Dr Hanudin Amin, Dekan FKI, Prof Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim dan Timbalan Pendaftar Kanan, Zamri Mohammad Tuah serta Ketua Sektor Hal Ehwal Pelajar, Nur Iman Reedzal.

Sementara itu, pelbagai acara akan diadakan sepanjang berlangsungnya MSM pada 28 Ogos hingga 2 September ini.

Antaranya Amanat Pengarah Kampus dan Pengenalan Pegawai UMSKAL pada 30 Ogos manakala pada hari Khamis akan diadakan Majlis Ikrar dan Aku Janji di Dewan Utama bermula pukul 4.30 petang.

 

Sementara pada sebelah malamnya akan diadakan Malam Persembahan Bakat MSM yang bakal dihadiri Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Sementara itu, Dr Muznizam mengucapkan selamat datang kepada pelajar baharu dari seluruh negara ke UMS Labuan dan Wilayah Persekutuan Labuan amnya.

Beliau bagi pihak Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah mengucapkan terima kasih kepada pelajar dan ibu bapa kerana memilih UMS Labuan untuk mereka menimba pelbagai ilmu termasuk adat dan budaya masyarakat setempat.