LABUAN – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMS, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi menasihatkan pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) supaya menguasai Bahasa Inggeris bagi memudahkan mereka memahami pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang diajar pensyarah di bilik kuliah.

 

Malah, beliau juga mahu mereka menguasai dan mempelajari bahasa antarabangsa yang lain termasuk Bahasa Mandarin, Jepun dan India serta Arab.

 

“Kalau kita menguasai lebih banyak bahasa, lebih mudahlah kita berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa selain memahami pengajaran dan pembelajaran di bilik kuliah,”katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 600 pelajar baharu UMS Labuan pada Majlis Ramah Mesra Pengerusi LPU UMS Bersama Pelajar Baharu UMS Labuan Sesi 2016/207 di Dewan Kuliah Pusat (DKP) pada 6 September 2016.

 

Turut hadir Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof Madya Dr Ismail Ali, Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad dan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik.

 

Hadir sama Ahli-Ahli LPU UMS, Pegawai-Pegawai Utama UMS dan pegawai kanan UMS Labuan.

 

Tun Zaki berada di Kampus Labuan untuk mempengerusikan Mesyuarat LPU UMS Ke-74 Bil. 5/2016.

 

Pada majlis itu, Tun Zaki berkongsi pengalaman mengenai kerjaya seorang hakim dan memberikan pandangan beliau mengenai ekonomi negara.

 

Tun Zaki tidak lupa mengingatkan pelajar baharu supaya sentiasa meningkatkan prestasi pembelajaran mereka ke arah lebih cemerlang.

 

Katanya, dalam tempoh tiga hingga empat tahun di UMS Labuan, mereka perlu memberikan fokus dan serius menghadapi pelbagai cabaran dalam bidang akademik dan kehidupan seharian.

 

“Kalau sudah memperolehi keputusan yang baik, pelajar harus memastikan prestasi itu kekal dan terus meningkat pada setiap masa. Kita jangan berpuas hati dengan pencapaian cukup makan sahaja,”katanya.

 

Kata Tun Zaki, pelajar harus belajar bersungguh-sungguh bukan sahaja untuk memperolehi segulung ijazah tetapi mampu menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara serta masyarakat.

 

Tambahnya, pasaran kerjaya pada masa akan datang menuntut pelajar institusi pengajian tinggi lebih berdaya saing bukan sahaja dengan pelajar tempatan tetapi juga pelajar antarabangsa.

 

Beliau juga mahu pelajar memiliki sikap keyakinan diri yang tinggi termasuk mampu bertanya soalan dan memberikan pendapat yang bernas selaras dengan kedudukan mereka sebagai pelajar berpendidikan tinggi.

 

“Jangan malu bertanya atau memberikan pandangan ketika diadakan dialog atau semasa di kelas,”katanya.

 

Tun Zaki tidak lupa mengingatkan pelajar supaya sentiasa menjaga nama baik dan imej universiti serta nama keluarga yang sentiasa mengharapkan mereka mampu menghasilkan keputusan yang terbaik dalam pengajian mereka di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Pada majlis itu, Tun Zaki memperkenalkan Ahli-Ahli LPU UMS dan pegawai utama UMS yang sentiasa mengambil berat kebajikan pelajar.

 

Selepas majlis ramah mesra itu, Tun Zaki yang diiringi Pengarah UMS Labuan, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik melawat tanaman cili padi yang terletak bersebelahn Dewan Kuliah Pusat itu.