LABUAN – Program tahunan Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Tamu Gadang 2016 menawarkan hadiah menarik untuk dibawa pulang peserta dari dalam dan luar negara.

Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik (gambar) berkata Tamu Gadang yang akan berlangsung pada 18-20 November 2016 itu menyajikan 17 acara termasuk 12 acara yang menyediakan hadiah lumayan.

Katanya, 12 acara itu ialah Kid’s Got Talent, Festival Tari dan Muzik Rakyat Antarabangsa, Memancing Pesisir Pantai, Volleyball Men’s Open, UMSKAL Cooking Battle dan Graduate Run.

Selain itu, Battle Of The Gyms, UMSKAL Cyber Games Challenge, Kal-Cutey Catz Competition, Tarik Tali Se-Borneo, Restaurant Cooking Battle dan Futsal Men’s Open.

Juara bagi empat acara iaitu futsal, battle of the gyms, tarik tali dan volleyball akan menerima RM3,000 manakala johan acara restaurant cooking battle menawarkan RM1,500, UMSKAL cooking battle (RM1,200) serta memancing (RM1,000).

Dr Murnizam berkata pihaknya turut mengadakan Simposium Perubatan Tradisional, Forum Perdana, Pameran Big Bike dan Gerai Tamu Gadang.

Katanya, majlis perasmian akan diadakan pada 18 November manakala majlis penutupan pada 20 November yang akan dimeriahkan dengan persembahan artis tanahair.

“Tamu Gadang diadakan adalah untuk meraikan Majlis Konvokesyen UMS Ke-18 2016. Kami mengalu-alukan penyertaan daripada semua peserta dari seluruh negara dan antarabangsa,”katanya.

Selain itu, beliau berkata penganjuran Tamu Gadang UMS Labuan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin antara UMS Labuan dengan jabatan dan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan warga Wilayah Persekutuan Labuan.

Dr Murnizam juga yakin kehadiran peserta dari Sabah, Sarawak, Semenanjung dan Brunei serta negara-negara Asean akan membantu menjana ekonomi dan merancakkan lagi industri pelancongan tempatan.

Mereka yang berminat menyertai Tamu Gadang UMS Labuan 2016 boleh melayari laman web wwwkal.ums.edu.my/tamugadang untuk mendapatkan keterangan lanjut.