LABUAN – Pelajar SMK Labuan, Angelin Lee Chai Sia muncul johan Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) 2016.

Seorang lagi pelajar SMK Labuan, Yazid Zahiruddin Faiz Mu’izzuddin menduduki tempat kedua manakala tempat ketiga dimenangi pelajar SMK Taman Perumahan Bedaun, Nurhafizah Amanina Rapezun.

Juara bagi Pertandingan Pidato peringkat IPT ialah Muhammad Hafizi Kasim dari UMSKAL yang merupakan peserta tunggal kategori tersebut.

Bagi Pertandingan Mencipta Banner peringkat sekolah rendah, juara dimenangi oleh Mohd. Hakimi Faizal dari SK Layang-Layangan manakala  naib juara dan tempat ketiga masing-masing dimenangi murid SK Sungai Bedaun, Rozzelyn Rosdi dan Syafiqah Mohd Tahir.

Sekretariat Pencegahan Rasuah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (SPRUMSKAL) telah mengadakan dua program pada 1 Oktober (Sabtu) lepas di Dewan Kuliah Pusat iaitu Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah UMSKAL (peringkat sekolah menengah dan IPT) dan Pertandingan Mencipta Banner peringkat sekolah rendah.

Kedua-dua program tersebut yang diadakan dari jam 8 hingga 12 tengah hari itu dihadiri oleh Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan, Muhamad Hisyam Mokhtar dan Penolong Penguasa SPRM, Masrawi Saimi,

Turut hadir Ketua Cawangan Sekretariat Pencegahan Rasuah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (SPRUMSKAL), Ainal Sapri dan Pengarah Program, Rohani Abdul Salam.

Objektif Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah ini adalah untuk menerapkan nilai anti rasuah dan meningkatkan kesedaran tentang bahayanya rasuah.

Manakala Pertandingan Mencipta Banner itu bertujuan untuk mewujudkan percambahan idea dan peningkatan ilmu dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menjadikan sebuah medium penggerak supaya pelajar sebagai pemangkin perubahan sosial.