LABUAN - Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA), Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) telah mengambil inisiatif membuka Kafe Lounge Kesumba Biz & Beat bagi memudahkan kakitangan membeli dan mendapatkan makanan seperti sarapan pagi dan makan tengah hari tanpa perlu keluar jauh dari kampus.

Pengerusi Kesumba KAL, Hayati Salleh Baihaki berkata Kafe Lounge Kesumba Biz & Beat yang terletak di Aras 11, Bangunan Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) itu juga bagi menyokong aspirasi UMS mewujudkan persekitaran sihat dan kondusif untuk kakitangan.

Katanya, sejak beroperasi pada 2 Februari 2016, Kafe Lounge Kesumba Biz & Beat juga dapat mengurangkan masa terbuang kakitangan untuk keluar mencari makan setiap kali waktu rehat seterusnya dapat meningkatkan produktiviti kerja kakitangan dan mengurangkan kes keluar pejabat pada waktu bekerja.

“Harga yang ditawarkan di Kafe Lounge Kesumba Biz & Beat juga adalah mengikut kadar yang telah ditetapkan kerana selain daripada kakitangan, pelajar UMSKAL juga berkunjung ke kafe tersebut,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Majlis Perasmian Kafe Kesumba Biz & Beat, UMSKAL di Kafe Kesumba Aras 11, Menara UMSKAL pada 15 Oktober 2016.

Majlis perasmian kafe tersebut disempurnakan oleh Yang DiPertua KESUMBA, Datin Baidah Ibrahim.

Turut hadir Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah merangkap Penasihat Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita UMS (KESUMBA), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan, merangkap Penasihat KESUMBA KAL, Prof. Madya Dr. Murnizam Halik dan Pemangku Bendahari Universiti Malaysia Sabah, Zallifah Shadan.

Hadir sama Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Dr Hanudin Amin, Timbalan Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Dr Zamhar Iswandono dan Timbalan Pendaftar Kanan, Zamri Mohamad Tuah.

Hayati berkata hasrat mewujudkan kafe itu tidak akan terlaksana tanpa bantuan dan sokongan jitu daripada pihak pengurusan UMS yang sentiasa menyokong program dan aktiviti KESUMBA.

Pada majlis itu, beliau mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak pengurusan UMSKAL di bawah pimpinan Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Murnizam Halik kerana telah memberi peluang dan kepercayaan kepada KESUMBA KAL menyewa ruang di Aras 11 untuk menjalankan perniagaan dan mengendalikan Kafe B&B Lounge.

“Kafe ini juga juga telah membuka peluang perniagaan kepada ahli-ahli Kesumba di kalangan suri rumah untuk menjual kek dan dessert mereka,”katanya penuh bangga.

Kata Hayati, kehadiran Dr Mohd Harun dan Datin Baidah amat dihargai dan semoga ini menjadi pemangkin kepada KESUMBA KAL untuk terus Maju Sehati lagi.

Hayati turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datin Baidah kerana telah memberi kepercayaan dan melantik beliau sebagai Pengerusi KESUMBA KAL semenjak 12 Jun 2015.

Katanya, banyak aktiviti yang telah dijalankan oleh Kesumba KAL sejak tarikh tersebut, di antaranya adalah pembukaan Café Kesumba Biz & Beat di Kafe Pelajar pada bulan September 2015, menjadi penganjur bersama program Cooking Battle sempena Tamu Gadang UMSKAL pada November 2015, kunjungan hormat ke BAKAT TUDM Labuan, Car Boot Sale, membekal bun dan makanan sempena Majlis Suai Mesra (MSM) dan juga Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) baru-baru ini.

Menurut Hayati, bagi menyokong program EcoCampus iaitu idea cetusan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Kesumba telah menetapkan konsep total self-service di kafe ini seperti konsep restoran segera yang diamalkan di luar negara, di mana pelanggan akan mengambil makanan sendiri dan mengembalikan sendiri pinggan dan gelas ke tempat yang disediakan dan membuang sampah sendiri di tong sampah yang disediakan. You eat - you clean-you happy.

“Alhamdulillah semua kakitangan dan pelajar tidak pernah mengeluh semenjak konsep diperkenalkan malah telah memberi kerjasama penuh dan menjadikan mereka lebih berdisiplin dan menjadikan café ini lebih EcoCampus dan EcoFriendly,”katanya.

Pada majlis perasmian kafe itu juga, Hayati tidak lupa mengambil peluang untuk mengucapkan penghargaan kepada Exco KESUMBA KAL serta ahlinya yang telah bertungkus lumus selama ini membantu KESUMBA menjayakan program dan aktiviti anjuran KESUMBA.

“Semoga komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan oleh puan-puan diteruskan agar membolehkan kelab ini terus bergerak dengan maju ke hadapan dan seterusnya menjadi kelab yang terbaik,”katanya.

Datin Baidah menurunkan tanda tangan sebagai simbolik perasmian kafe tersebut dan sesi bergambar kenangan bersama Exco Kesumba KAL.