LABUAN: Pelajar Tahun Dua Jurusan Kewangan Islam, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Mohd Fadzil Mohd Arfah memenangi kerusi Umum pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) bagi penggal 2016/2017 yang diumumkan di Dewan Theatrette, pada 19 November 2016.

 

Beliau yang berasal dari Kampung Durok, Keningau meraih 864 undi mengalahkan empat calon lain.

 

Undi kedua terbanyak dimenangi pelajar Pemasaran Antarabangsa FKAL, Husna ‘Izzati Abdullah yang berasal dari Muar, Johor dengan 797 undi.

 

Sementara itu, bagi kerusi FKAL, dua calon memperoleh undi terbanyak iaitu Edric Chiang Kyn Wye 761 undi dan Mellanie Mell Adris 616 undi.

 

Nur Amalina Mohd Latif yang memperolehi 155 undi pula memenangi kerusi Fakulti Komputeran Dan Informatik (FKI) yang ditandingi dua calon.

 

Keputusan pemilihan MPP UMS Labuan itu diumumkan Timbalan Pengarah UMS Labuan, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal yang mewakili Pengarah, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik.

 

Proses pengundian berlangsung lancar dengan pelajar menunaikan tanggungjawab secara berperingkat mulai jam 9 pagi sehingga proses pengundian ditutup jam 7 malam.

 

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof Madya Dr Ismail Ali, berkata kelancaran proses pemilihan MPP tahun ini menunjukkan demokrasi diterima dengan baik oleh mahasiswa.

 

"Kita lihat kesedaran pelajar yang mengundi juga meningkat berbanding tahun sebelumnya. Ini memperlihatkan tahap kesedaran dan rasa tanggungjawab mahasiswa dan mahasiswi sebagai warga di universiti ini menunjukkan peningkatan.

 

"Harapan kita kepemimpinan MPP sesi kali ini lebih matang dan komited kerana mereka penghubung antara universiti dan pelajar," katanya selepas Majlis Pengumuman Perwakilan MPP, UMS.