LABUAN – Tiga buah kelab motosikal berkuasa tinggi telah berganding bahu membantu mempromosikan program Tamu Gadang Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) 2016.

Seramai 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi yang mewakili Kelab Harley Owner Group (HOG) Labuan, LA Riders dan Smart Ryders Club House menyertai konvoi dari pekarangan UMS Labuan seawal jam 8 pagi pada Sabtu lalu.

Selepas majlis perlepasan oleh Timbalan Pendaftar Kanan UMS Labuan, Zamri Mohamad Tuah, konvoi bermotosikal yang diketuai Soffry Mohd Yussof itu bergerak perlahan melalui Jalan Sungai Pagar, Sungai Miri, Sungai Lada sebelum berhenti di hadapan pekarangan Masjid Al-Ehsan, Kampung Sungai Labu.

Pada majlis itu, Zamri bersama ketua promosi Tamu Gadang, Nur Iman Reedzal menyerahkan kain rentang kepada Ketua Kampung Sungai Labu, Haji Ahmad Tamin, Ketua Kampung Sungai Miri, Haji Tajudin Omar, Ketua Kampung Sungai Lada, Haji Alias Mohamad dan wakil Ketua Kampung Layang-Layangan.

Konvoi yang didahului dua anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Labuan meneruskan pergerakan melalui Jalan Layang-Layangan, Bukit Kalam, Jalan Kolam dan pusat bandar.

Perhentian seterusnya di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Pasar Sentral Labuan yang disambut meriah oleh Pengarah Jabatan Pelancongan Perbadanan Labuan, Mahathir Abd Hamid.

Zamri yang mewakili Pengarah UMS Labuan, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik mengucapkan terima kasih kepada ketua-ketua kampung yang terbabit, Perbadanan Labuan, IPD Labuan, Angkatan Pertahanau Awam Malaysia (APM), Pengurusan UTC Labuan, Kafe UTC dan penunggang motosikal berkuasa tinggi, Jawatankuasa Promosi, Jawatankuasa Induk serta pelajar yang menjayakan Kembara Promosi Tamu Gadang 2016.

Beliau yakin kerjasama dan komitmen padu semua pihak itu akan memastikan Tamu Gadang UMS Labuan yang akan berlangsung pada 18-20 November depan akan menemui kejayaan yang gemilang seperti mana yang diharapkan.

“Menerusi konvoi bermotosikal itu, saya percaya warga Wilayah Persekutuan Labuan sudah mengetahui penganjuran Tamu Gadang UMS Labuan 2016 pada 18-20 November ini. Terima kasih kami ucapkan kepada semua pihak yang turut membantu Kembara Promosi Tamu Gadang 2016,”katanya.

Antara pihak yang sudah mengesahkan kerjasama menjayakan Tamu Gadang UMS Labuan 2016 ialah Perbadanan Labuan, Petronas dan Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita UMS (Kesumba).

Sementara itu, ketua Ahli Jawatankuasa Promosi Tamu Gadang 2016, Nur Iman Reedzal berharap menerusi konvoi yang pertama kali diadakan itu akan menarik lebih ramai peserta dari dalam dan luar negara menyertai Tamu Gadang UMS Labuan pada tahun ini.

Beliau amat terkejut konvoi itu yang pada mulanya hanya disertai 12 penunggang motosikal bertambah ramai menjelang jam 8 pagi sebelum konvoi memulakan perjalanan.

“Sepanjang jalan penduduk kampung dan orang ramai melambai tangan sebagai tanda sokongan kepada penganjuran Tamu Gadang UMS Labuan 2016,”katanya.

Nur Iman turut mengucapkan terima kasih kepada semua peserta termasuk Jawatankuasa Promosi Pelajar dan Kakitangan yang menaiki bas Eco Campus yang turut mengedarkan risalah mengenai acara Tamu Gadang kepada orang ramai di UTC Pasar Sentral Labuan.

Apa yang menariknya, kata Nur Iman di badan bas tersebut digantung kain rentang Tamu Gadang UMS Labuan 2016 yang mengundang perhatian orang ramai ketika berhenti di Sungai Labu dan pusat bandar.

Zamri masih mengalu-alukan sokongan dan kerjasama agensi kerajaan, sektor swasta dan syarikat perniagaan untuk berganding bahu menjayakan program tahunan UMS Labuan itu.

Mereka yang berminat untuk menyertai Tamu Gadang UMS Labuan boleh menghubungi 087-460409 pada waktu pejabat.