LABUAN – Seramai 89 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Bukit Kalam (SKBK) teruja mengunjungi Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sempena program Lawatan Sambil Belajar Pasca UPSR, pada 26 Oktober 2016.

Rombongan sekolah itu yang turut disertai enam guru diketuai Norine Bilik yang juga Guru Penyelaras Lawatan tersebut.

Beliau yang mewakili Guru Besar SK Bukit Kalam, Rosli Mohd Ali berkata lawatan itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada murid kehidupan sebenar dan suasana pembelajaran serta pengajaran di menara gading.

“Saya bagi pihak Guru Besar mengucapkan terima kasih kepada pengurusan UMS Labuan yang sudi menerima murid dan guru SK Bukit Kalam pada kali ini. Saya yakin mereka telah mendapat sesuatu yang baharu khususnya motivasi untuk memasuki UMS Labuan,”katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah UMS Labuan, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal sempat memberikan semangat dan motivasi kepada murid tersebut sebelum menyertai sesi bergambar kenangan di hadapan Bangunan Menara UMS Labuan.

Beliau berharap dalam tempoh enam tahun akan datang, murid SK Bukit Kalam akan terus belajar bersungguh-sungguh bukan sahaja untuk memasuki universiti tetapi juga menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa, negara dan masyarakat.

“Jadikan lawatan itu sebagai titik permulaan untuk anda menanam azam dan semangat sebelum memasuki UMS Labuan,”katanya.

Taklimat mengenai pentadbiran UMS Labuan disampaikan Penolong Pegawai Tadbir, Mohizam Mohamad yang dibantu Pegawai Khidmat Pelanggan, Nor Atiqah Mustaffa.

Murid dan guru dibawa melawat makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) di Tingkat 9 dan perpustakaan.

Mereka begitu teruja menikmati suasana dan pemandangan menarik UMS Labuan yang menjadi kebanggaan warga Wilayah Persekutuan Labuan.

Terdapat kira-kira 2,366 mahasiswa yang masing-masing 1,722 pelajar mengikuti pengajian di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan 644 pelajar lagi di FKI.

Pengarah UMS Labuan, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik sentiasa mengalu-alukan lawatan sambil belajar bukan sahaja daripada murid sekolah tetapi juga mereka yang berminat berkongsi kepakaran dengan pensyarah di kedua-dua fakulti tersebut.