LABUAN - Kolej Kediaman Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) muncul Juara Keseluruhan Karnival Sukan Kolej Kediaman UMS 2016 yang diadakan di Stadium UMS pada 10 - 11 Disember lalu.

Kontinjen UMSKAL itu membawa pulang trofi juara bagi acara sukan Bola Tampar (Lelaki Dan Wanita), Bola Keranjang, Futsal dan Badminton Single Wanita menerusi Joanne Chai Guan Jun.

Manakala bagi acara Bola Jaring, UMSKAL meraih tempat kedua dan tempat keempat bagi acara Sepak Takraw.

Pegawai Belia dan Sukan Kanan UMSKAL, Gabriel Moinjil berkata, kejayaan itu merupakan pertama kali diraih kontinjen UMSKAL di karnival tersebut.

Turut menyertai karnival Kolej Kediaman itu ialah Kolej Kediaman Tun Mustapha, Kolej Kediaman Tun Fuad, Kolej Kediaman Sri Angkasa, Kolej Kediaman Excellent, Kolej Kediaman USIA, Kolej Kediaman Kingfisher dan Kolej Kediaman Non Resident.

Naib Johan keseluruhan dimenangi Kolej Kediaman Excellent manakala Kolej Kediaman Tun Mustapha menduduki tempat ketiga.

Semua Atlet yang mewakili UMSKAL mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengetua Kolej Kediaman, Nona Masneh Haji Nistah dan Pengarah Kampus, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan bagi mewakili UMSKAL.

Sementara itu, Dr Murnizam yakin kejayaan itu disebabkan usaha berterusan atlet menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih acara sukan masing-masing di venue sukan yang terdapat di UMS Labuan.

“Saya sering menyarankan kepada pelajar supaya sentiasa menggunakan kemudahan sukan yang disediakan di UMS Labuan bukan sahaja untuk menghadapi pertandingan kompetitif tetapi juga sebagai riadah sekaligus merapatkan hubungan antara mereka,”katanya.

Beliau tidak lupa mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua atlet serta terima kasih kepada jurulatih yang terbabit.

Pengarah Pusat Sukan UMS, Mohd Asyraf Foong Abdullah menyampaikan hadiah kepada pemenang.\

Turut hadir Pegawai Belia dan Sukan Kanan UMS, Ahmadi Nurdin.