Seramai 56 orang pegawai kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Universiti Malaysia Sabah (Kor-Sispa UMS) berjaya mengikuti Kursus Methodologi Kejurulatihan Dan Bakal Pegawai yang berlangsung pada 14-21 Januari 2017 bertempat di Dewan Kolej Kediaman Tun Mustapha, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu. Pegawai kadet Kor-Sispa UMS ini dianggotai oleh 31 orang pelajar tahun tiga dari UMS Kampus Kota Kinabalu, dan 25 pelajar tahun tiga dari UMS Kampus Antarabangsa Labuan.

Kursus ini bertujuan memastikan pegawai kadet Kor-Sispa UMS yang ditauliah mempunyai sijil asas methodologi kejurulatihan bagi menepati syarat pentauliahan. Di samping itu kursus ini mempersiapkan pegawai kadet dengan asas-asas kejurulatihan bagi memastikan pegawai kadet ini mempunyai kemahiran yang secukupnya sebelum ditauliah.

Para pegawai kadet Kor-Sispa UMS turut diberi pendedahan mengenai peranan dan kepentingan latihan dalam organisasi serta persediaan jurulatih, selain daripada perlu menghadiri ujian teori metodologi dan latihan amali.

Dalam ucapan Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Madya Dr. Norazah Mohd Suki selaku perasmi Majlis Penutupan Kursus Methodologi Kejurulatihan Dan Bakal Pegawai, menyatakan bahawa pengisian program ini mempunyai sasaran yang jelas kepada para pegawai kadet Kor-Sispa UMS dalam membentuk sahsiah diri sebagai mahasiswa yang kental dan berkualiti agar dapat diaplikasikan pada masa hadapan kerana mereka dilengkapi ilmu kepegawaian yang berkaitan antaranya akta pertahanan awam, kaedah pertahanan awam, etika dan kepimpinan pegawai.

Majlis penutupan ini turut dihadiri oleh Lt. (PA) Zulfaituri Ramlee (Ketua Jurulatih Kor SISPA UMS), SM (PA) Hilmi Husman (Jurulatih Akademi Latihan Pertahanan Awam Bangi), Jurulatih Kor-Sispa UMS termasuk SM (PA) Asby Mohd Anwar, Lt.M. (PA) Sahrol A/L Samad, Lt.M. (PA) Japli Siping, Lt.M. (PA) Bakhtiar Yamba, Lt.M. (PA) Mohd Firdaus Laugan, dan Lt.M. (PA) Shazila Niza Mahat.

Tamat.